Oleh Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 atau KEB2024 akan diadakan pada 29
Februari hingga 2 Mac depan.
Ini adalah Kongres Ekonomi
Bumiputera kali ketujuh pernah diadakan di negara kita.
Kongres kali ini bukan saja
dilihat penting kerana melalui medium sebelum inilah lahirnya Mara, Bank
Bumiputera, Tabung Haji dan puluhan agensi lain untuk kepentingan kaum
Bumiputera, tetapi juga sebab kali ini ia diadakan di ketika negara dipimpin
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerajui sebuah Kerajaan
Perpaduan (Madani) di mana turut ada DAP di dalamnya, mahu tidak mahu, KEB2024
akan menjadi penantian semua pihak.
Semua mahu melihat sejauh mana
keutuhan jiwa Anwar dalam menjaga kepentingan Bumiputera di sebalik parti
berbilang kaum yang menjadi tunjang utama dalam kerajaan.
Sebab itu, agaknya kali ini,
selain semua parti politik - kerajaan dan pembangkang - yang akan turut
dijemput, juga akan melibatkan penyertaan masyarakat Cina dan India.
Sikap terbuka tangani masalah ekonomi
Menurut Perdana Menteri
kerajaan mengambil sikap terbuka dalam menangani beberapa isu bersama walaupun
kongres itu memberikan tumpuan kepada masalah dihadapi Bumiputera.
"Pendekatan kita dalam
KEB2024 lebih inklusif. Maknanya kita mahu penyertaan daripada masyarakat Cina
dan India.
"Saya harap ACCIM
(Gabungan Dewan Perniagaan dan Dewan Perindustrian Cina Malaysia) bersedia
berbincang kerana pendekatan kita inklusif.
"Maknanya dalam
membicarakan ekonomi bumiputera, ada isu-isu SME (Perusahaan Kecil dan
Sederhana) atau kelompok India miskin akan kita tangani bersama, jadi
pendekatan agak berbeza," katanya.
Beberapa hari sebelum ini pula,
ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1
Tahun 2024 yang dihadiri sama ahli-ahli MEB terdiri daripada Timbalan-timbalan
Perdana Menteri, Menteri-menteri yang berkaitan dan wakil-wakil daripada
Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Anwar jelas
memperlihatkan kesungguhan mahu melihat kejayaannya.
Pendekatan baharu agenda Bumiputera
Beliau berkata, mesyuarat telah
meneliti kertas cadangan hala tuju agenda Bumiputera yang turut mengambil kira
input-input yang diperolehi daripada sesi libat urus yang telah diadakan.
Katanya, perbincangan turut
menyentuh persediaan penganjuran KEB 2024, waima tekankan supaya kongres itu
nanti perlu menjadi pengerak kepada perspektif serta pendekatan baharu ke atas
kerangka agenda Bumiputera.
"Ianya perlu melangkau
sudut pandang sempit kononnya agenda ini hanya untuk kepentingan Bumiputera,
justeru pertumbuhan baharu Bumiputera perlu dikenalpasti selain daripada
pengumpulan data yang bersistematik.
"Kerajaan Madani bertekad
untuk memperkukuhkan agenda Bumiputera yang akan memberi manfaat kepada
pelbagai lapisan masyarakat dan bukan hanya kumpulan tertentu sahaja,"
tambah beliau.
Bersama kita jayakan KEB2024
ini sambil menanti, barangkali ada hasil yang luar biasa daripadanya.
______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat