Zulkarnain Zakaria.
# Beberapa tahun lalu saya ada buat satu cerita satira, kemudian saya pos di sini (Facebook). Tapi 10 minit kemudian, saya padam posting tersebut. Padam dengan rasa bersalah yang amat sangat.
Walaupun posting sinikal dan satira lucu itu telah mendapat banyak like, tapi saya rasa adalah sangat tidak wajar saya membuat posting sebegitu. Ini kerana cerita satira itu saya tutup dengan dialog lucu seorang pemuda gagap.
Sekali baca rasa tiada apa-apa, tapi bila dibaca kali kedua dan seterusnya, saya baru sedar ia boleh ditafsirkan sebagai mempersenda orang gagap serta membuka ruang kepada masyarakat untuk mengejek orang yang mempunyai masalah pertuturan itu. Walaupun bukan itu niat saya, tapi kesannya nanti di luar kawalan saya.
Saya memadam posting itu dengan kesedaran bahawa tiada sesiapa yang mahu dilahirkan dengan masalah dan kekurangan upaya. Mereka sepatutnya kasihani, dibantu dan diberikan sokongan, bukannya dijadikan bahan sendaan.
## 1995, ketika menjadi pemberita Meja Am di akhbar Utusan, saya telah ditugaskan untuk membuat liputan majlis makan malam yang tetamu kehormatnya ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Penganjur program pula sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang kenalan lama Dr. Mahathir, dari kalangan istana.
Dalam ucapan alu-aluannya, sahabat lama Dr. Mahathir itu melawak, "Di United Kingdom, Perdana Menteri bertukar setiap 5 tahun dan Queen terus kekal. Tapi di Malaysia lain, rajanya bertukar setiap 5 tahun, sedangkan PMnya masih orang yang sama..."
Hahahaaa.. semua orang ketawa, termasuk Dr. Mahathir.
# Cerita satira dan sinikal lebih kurang sama saja genrenya dengan parodi. Cuma cara dan medium persembahannya berbeza. Begitu juga dengan kartun dan komediri. Semuanya menjadikan sesuatu isu, terutama isu semasa, sebagai bahan usikan. Lagi terkini isu berkenaan, lagi kuat kesan usikan dan jenakanya.
Sekarang kita ke isu sebenar...
Parodi DD Chronicle : Ada yang berpendapat, DD mesti didakwa dan dihukum kerana parodinya dianggap mempersendakan undang-undang syariah, sivil dan hukum Islam. Ada pula yang berkata, tak ada yang salah pun dalam parodi itu. Nama pun parodi, kenapa nak sentap & buat report polis? Relakslah.
Dalam bidang kewartawanan dan media, kami diwajibkan menyertai kursus undang-undang. Sepanjang hampir 25 tahun dalam bidang itu, saya menyertai empat atau lima kursus dan seminar berkaitan undang-undang penerbitan, mesin cetak serta etika kewartawanan. Itu tidak termasuk perbincangan-perbincangan tertutup di kalangan pegawai syarikat.
Memang syarikat media perlu selalu adakan program sebegini kerana zaman berubah, kes-kes baru sentiasa berlaku. Ia perlu dijadikan rujukan.
Jadi... adakah DD sudah melampaui batas? Atau jenaka parodi tidak sepatutnya disekat dan dihukum, kerana ia adalah bidang kreatif dan medium hak kebebasan bersuara?
Pandangan saya...
Kenapa kita marah apabila pelawak Singapura, Jocelyn Chia mempersendakan negara kita dalam komedirinya tahun lepas?
Kenapa kita marah apabila akhbar mingguan satira Charlie Hebdo menyiarkan kartun mempersendakan Islam, tidak lama dahulu?
Kenapa kita marah apabila seorang wanita Melayu yang mendakwa hafal al-Quran tiba-tiba membuka tudung dan bajunya semasa membuat komediri, pada Julai 2022?
Dan.. kenapa Pas marah apabila akhbar Nanyang Siang Pau menyiarkan kartun monyet untuk mempersendakan parti itu, presidennya dan RUU355, pada 2017? Sekarang rasanya majoriti penyokong parti itu berada di belakang DD dan menganggap DD tidak membuat sebarang kesalahan.
Bagi saya... betullah karya satira, parodi, komediri dan kartun itu karya kreatif. Saya pun suka. Tapi dalam kursus undang-undang, penerbitan dan kewartawanan yang saya sertai, kami berulang-ulang kali diingatkan... jangan sesekali memainkan sensitiviti perkauman dan agama. Jangan hina, jangan persenda dan jangan mengadu-domba melalui isu berkenaan. Banyak akta dan hukuman menanti pelakunya.
Ini bukan setakat batas undang-undang, tetapi juga tanggung jawab moral pengamal
media. Seorang wartawan atau penulis berperanan mengharmonikan masyarakat, bukan mengajak kepada kebencian, prasangka dan pertelagahan. Kalau buat juga, terimalah akibatnya.
Kalau satira politik, tidaklah masalah sangat. Malah ia bagus sebagai medium semak imbang. Tapi jangan sesekali membuat lawak dengan mengatakan seorang ahli politik itu melakukan sesuatu yang dia tidak buat, misalnya "Kalau nak sakau, jumpa YB Nur Izzati...", memang mengundang lah tu.
Isu agama dan kaum sangat sensitif. Dalam kes wanita yang buka tudung dan baju semasa komediri, dia didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama antara orang yang menganut agama sama.
Satu lagi kes relevan yang perlu anda tahu: Ummi Hafilda Ali menang dalam samannya terhadap beberapa pihak termasuk Harakah selepas akhbar rasmi Pas itu menyiarkan artikel satira yang menjadikan Ummi (walaupun guna nama lain) sebagai bahan sendaannya, pada tahun 1999.
Ya, parodi hanya jenaka. Tapi ia bukan lesen besar untuk berbuat apa saja kerana kebebasan bersuara itu ada batasnya. Keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesucian agama jangan dipermainkan.
Individu dan orang awam pula mempunyai hak untuk bertindak balas jika merasakan jenaka dan parodi itu memfitnah atau mengganggu ketenteraman.
Sama ada DD akan didakwa atau tidak, semuanya bergantung kepada fakta kes.
Cuma sebagai orang awam, bagi saya, jika tidak didakwa, ia boleh menjadi duluan kepada pihak-pihak lain untuk melakukan hal serupa.
----
Nasihat saya kepada semua, sama ada cytro berbayar atau persendirian, janganlah kita ghairah sangat kejar like, share & followers hingga sanggup memfitnah dan melanggar undang-undang. Tak berbaloi di sini, tak berbaloi juga di sana nanti.
Perlu diingat, undang-undang semakin ketat, bukan semakin longgar. Pindaan sentiasa dibuat untuk menutup lompong-lompong.
Kalau boleh, belajarlah undang-undang supaya kita tak dipakaikan baju oren & gelang besi.