SELEPAS MIRZAN DAN MOKHZANI DISIASAT SPRM, APAKAH MUKHRIZ JUGA SEDANG MENUNGGU GILIRAN?

 

Selepas Mirzan disiasat SPRM seminggu yang lalu dan kemudian diarah mengisytiharkan harta kekayaannya dalam tempoh 30 hari, seorang lagi anak Tun Mahathir Mohamad menerima giliran diarah mengadap agensi pencegah rasuah itu.

Kali ini giliran Mokhzani Mahathir yang terpaksa pergi ke pejabat SPRM semalam untuk disiasat dipercayai berhubung pengisytiharan harta.

Menurut laporan media, Mokhzani disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Bermakna kini, daripada tiga anak lelaki bekas Perdana Menteri berusia 98 tahun itu, dua daripadanya sudah dipanggil ke pejabat SPRM untuk siasatan.

Hanya Mukhriz Mahathir yang belum diberikan giliran untuk pergi ke pejabat SPRM.

Seorang kenalan secara bergurau berkata, tidak lengkap siasatan terhadap kekayaan keluarga Tun Mahathir jika Mukhriz tidak sama disiasat oleh SPRM.

Apakah selepas ini, barangkali hanya dalam minggu-minggu terdekat ini, giliran Mukhriz pula akan disiasat SPRM dan diarah mengisytiharkan kekayaannya?

Siasatan terhadap dua anak lelaki Tun Mahathir ini yang menyusul selepas tindakan sama terhadap Tun Daim Zainuddin dan isterinya adalah dipercayai sebagai usaha Anwar Ibrahim untuk merealisasikan janjinya sejak puluhan lalu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwanya merompak kekayaan negara.

Ketika Mirzan disiasat SPRM, Tun Mahathir tidak menyembunyikan rasa “naik anginnya”, bahkan mendakwa anaknya turut diugut untuk dipenjarakan selama lima tahun.

Kemudian daripada itu, beliau turut mengadakan sidang media khas berkaitan apa yang menimpa anak lelaki sulungnya itu.

Dalam sidang media khas itu, Tun Mahathir secara terbuka mengakui beliau risau dengan siasatan SPRM terhadap Mirzan itu.

“Risaulah… sebagai anak saya, dia bagi tahu dapat notis dan suruh dia jelaskan segala transaksi yang dia buat sejak dia berusia 20 tahun.

“42 tahun punya transaksi kena jawab 30 hari, dia kena tanya bank, Petronas dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti,” ujar Tun Mahathir lagi.

Seterusnya, beliau mendakwa, tindakan SPRM itu sebagai tidak masuk akal dan lebih berupa pengumpulan bukti bagi mendakwa dirinya ke mahkamah.

“Anwar kata saya curi duit kerajaan..tunjuklah bukti, sebaliknya sekarang saya dengar anak saya diminta untuk beri bukti supaya saya boleh didakwa,” katanya.

Yang jelas sekarang, diam tak diam, dua daripada tiga anak lelaki Tun Mahathir sudah dipanggil untuk disiasat dan tidak mustahil, semua mereka juga bakal berdepan pendakwaan di mahkamah tidak lama lagi.

Semua yang berlaku ini – satu yang pasti – suhu darah dan angin dalam badan Tun Mahathir tentunya terus menaik bertambah tinggi lagi.

Mungkinkah satu lagi sidang media khas bakal diadakannya?

Bagaimana agaknya keadaan suhu darah dan angin dalam badan Tun Mahathir jika akhirnya semua anak lelakinya, bahkan termasuk anak perempuannya juga akan disiasat SPRM? – ShahbudinHusin 27/01/2024.

0