Selepas Mirzan disiasat SPRM seminggu yang lalu
dan kemudian diarah mengisytiharkan harta kekayaannya dalam tempoh 30 hari,
seorang lagi anak Tun Mahathir Mohamad menerima giliran diarah mengadap agensi
pencegah rasuah itu.
Kali ini giliran Mokhzani Mahathir yang
terpaksa pergi ke pejabat SPRM semalam untuk disiasat dipercayai berhubung
pengisytiharan harta.
Menurut laporan media, Mokhzani disiasat
mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Bermakna kini, daripada tiga anak lelaki bekas
Perdana Menteri berusia 98 tahun itu, dua daripadanya sudah dipanggil ke
pejabat SPRM untuk siasatan.
Hanya Mukhriz Mahathir yang belum diberikan
giliran untuk pergi ke pejabat SPRM.
Seorang kenalan secara bergurau berkata, tidak
lengkap siasatan terhadap kekayaan keluarga Tun Mahathir jika Mukhriz tidak
sama disiasat oleh SPRM.
Apakah selepas ini, barangkali hanya dalam
minggu-minggu terdekat ini, giliran Mukhriz pula akan disiasat SPRM dan diarah
mengisytiharkan kekayaannya?
Siasatan terhadap dua anak lelaki Tun Mahathir
ini yang menyusul selepas tindakan sama terhadap Tun Daim Zainuddin dan
isterinya adalah dipercayai sebagai usaha Anwar Ibrahim untuk merealisasikan
janjinya sejak puluhan lalu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang
didakwanya merompak kekayaan negara.
Ketika Mirzan disiasat SPRM, Tun Mahathir
tidak menyembunyikan rasa “naik anginnya”, bahkan mendakwa anaknya turut diugut
untuk dipenjarakan selama lima tahun.
Kemudian daripada itu, beliau turut mengadakan
sidang media khas berkaitan apa yang menimpa anak lelaki sulungnya itu.
Dalam sidang media khas itu, Tun Mahathir
secara terbuka mengakui beliau risau dengan siasatan SPRM terhadap Mirzan itu.
“Risaulah… sebagai anak saya, dia bagi tahu dapat
notis dan suruh dia jelaskan segala transaksi yang dia buat sejak dia berusia
20 tahun.
“42 tahun punya transaksi kena jawab 30 hari,
dia kena tanya bank, Petronas dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) korek
pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti,” ujar Tun Mahathir lagi.
Seterusnya, beliau mendakwa, tindakan SPRM itu
sebagai tidak masuk akal dan lebih berupa pengumpulan bukti bagi mendakwa
dirinya ke mahkamah.
“Anwar kata saya curi duit kerajaan..tunjuklah
bukti, sebaliknya sekarang saya dengar anak saya diminta untuk beri bukti
supaya saya boleh didakwa,” katanya.
Yang jelas sekarang, diam tak diam, dua
daripada tiga anak lelaki Tun Mahathir sudah dipanggil untuk disiasat dan tidak
mustahil, semua mereka juga bakal berdepan pendakwaan di mahkamah tidak lama
lagi.
Semua yang berlaku ini – satu yang pasti –
suhu darah dan angin dalam badan Tun Mahathir tentunya terus menaik bertambah
tinggi lagi.
Mungkinkah satu lagi sidang media khas bakal
diadakannya?
Bagaimana agaknya keadaan suhu darah dan angin
dalam badan Tun Mahathir jika akhirnya semua anak lelakinya, bahkan termasuk
anak perempuannya juga akan disiasat SPRM? – ShahbudinHusin 27/01/2024.
0