Hari ini saya dan Azizah berkesempatan meraikan Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun Zoo Negara Ke-60. Turut bersama Menteri Besar Selangor dan Duta Besar China ke Malaysia.
Saya zahir penghargaan pada badan bukan kerajaan yang menguruskan Zoo Negara dengan penuh kecintaan dan memastikan haiwan dan tumbuh-tumbuhan di sini diurus dengan baik sejak puluhan tahun lalu.
Dalam ucapan, saya tegaskan peri penting infrastruktur seumpama Zoo Negara sebagai pendedahan terkait perimbangan antara manusia, haiwan dan alam sekitar, khususnya buat anak-anak pelajar di sekolah. Perkara ini ditekankan dalam Al-Quran yang menuntut kita memelihara dan memastikan keseimbangan ini tidak dirosakkan.
Jika bukit-bukau dirobohkan kerana kerakusan manusia atau haiwan dan tumbuh-tumbuhan tidak dipelihara hingga pupus, pasti ia mengundang malapetaka pada manusia. Kerana itu gagasan MADANI menekankan konsep ihsan, kasih sayang dan manusiawi.
Justeru sebagai komitmen untuk memelihara perimbangan ini, saya umum peruntukan RM5 juta sebagai dukungan Kerajaan terhadap kelangsungan usaha murni Zoo Negara, di samping membantu usaha mengumpul dana tambahan sekitar RM5 juta lagi daripada konglomerat dan syarikat-syarikat swasta.
Saya juga akan mengusulkan permohonan kepada Kerajaan China untuk memanjangkan tempoh keberadaan panda gergasi di Zoo Negara, yang menjadi simbolik hubungan erat Malaysia-China.
Saya turut sarankan anak-anak dan pelajar yang datang ke Zoo Negara tidak sekadar datang berkelah, sebaliknya kembangkan budaya ilmu dengan membawa buku nota atau gajet untuk mencatat penerangan berkaitan haiwan-haiwan di sini.
#MalaysiaMADANI