Ahli akar umbi dan kepimpinan
AMANAH dinasihatkan tidak memberi reaksi terhadap serangan Pas yang berterusan
terhadap DAP.
Presiden AMANAH, Datuk Seri
Mohamad Sabu berkata, serangan Pas itu tidak perlu dilayan kerana pendirian Pas
yang berubah ubah dan pada waktu ini berikutan parti tersebut terdesak setelah
percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan selama setahun menemui kegagalan.
Katanya, tiada guna ahli AMANAH
masuk ke dalam 'permainan' Pas yang menjadikan UMNO musuh ketat akidah mereka
selama puluhan tahun tetapi pada 2018 boleh berubah menjadi rakan tahaluf dalam
Muafakat Nasional hampir sekelip mata.
"Sejarah pertembungan
akidah paling lama diajar oleh Pas ialah pertembungan akidah dengan UMNO.
"Sebelum ini, bagi mereka pertembungan
dengan UMNO bukan sekadar politik tetapi melibatkan hukum hakam sehingga
terdapat yang melarang berimamkan dan memakan sembelihan orang UMNO.
"Namun pasca kemenangan
Pakatan Harapan 2018 yang menggabungkan AMANAH, PKR, DAP dan BERSATU, Pas
segera bekerjasama dengan UMNO bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada. Ketika itu
segala hukum hakam dan pertembungan akidah dengan UMNO digugur segera oleh Pas.
"Begitu juga dengan DAP.
Hubungan Pas lebih lama dengan DAP dan ketika bersama, mereka sentiasa memuji
DAP yang dikatakan sentiasa menghormati Perlembagaan dan hak-hak demokrasi.
Tetapi hari ini mereka memberi komen yang buruk kepada DAP.
Perkara ini perlu diabaikan
oleh pendokong AMANAH," katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad juga memberi andaian
mudah, sekiranya pada waktu ini AMANAH memutuskan hubungan dengan DAP maka
sekelip mata pula Pas akan segera menghulurkan tangan kepada DAP yang memiliki
40 kerusi parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
"(Maka) segala kecaman
mereka kepada DAP akan bertukar segera kerana bagi mereka ialah kekuasaan yang
menjadi matlamat utama daripada segala-galanya.
"Oleh itu kekal tenang,
dan tidak perlu melayan sikap mereka (Pas). Tiba masa kita akan menyaksikan
perubahan-perubahan sikap mereka," katanya sinis.