Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan tidak akan menangguhkan proses pendaftaran Pangkalan Data
Utama (PADU) meskipun berlaku beberapa isu teknikal berhubung proses
pendaftaran maklumat pengguna selepas ia dilancarkan semalam.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu mesyuarat pertama
Kabinet hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar
Ibrahim memutuskan PADU akan diteruskan sebagaimana dirancang.
"Jemaah Menteri tidak memutuskan sedemikian (tangguh PADU).
Pada waktu ini kita dapati sistem itu berjalan lancar dengan isu yang
dibangkitkan berjaya diselesaikan dalam jangka masa singkat.
"Pemantauan tentang aspek keselamatan terus dilakukan, jadi
tidak timbul isu untuk menangguhkan," katanya dalam sidang media pasca
mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan
mendapati sistem pangkalan data itu berjalan dengan lancar dan isu-isu
berbangkit berjaya diselesaikan dalam tempoh masa singkat.
Katanya masalah berbangkit terutama mengenai isu keselamatan
khususnya data peribadi sentiasa diutamakan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli
serta pasukan PADU.
Jelasnya Jemaah Menteri turut dimaklumkan tentang keselamatan
siber yang menjadi keutamaan dalam sistem PADU.
Dalam hal ini, katanya pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) yang
turut terlibat sebelum PADU dilancarkan membantu Kementerian Ekonomi dan
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenal pasti kerentanan pada sistem
tersebut.
CSM juga mengadakan pertemuan bersama DOSM serta Agensi
Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi terus menambah baik sistem PADU, katanya.
"Saya menyarankan semua rakyat yang berhasrat untuk
mendapatkan bantuan kerajaan untuk mengisi dan mendaftar dalam sistem PADU.
Jangan risau dan gunakan (PADU) tanpa was-was kerana isu yang dibangkitkan
sentiasa dipantau.
"Kerajaan pandang serius isu keselamatan data peribadi dan
menjamin tidak berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini," katanya.
Terdahulu bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri Dr Ong Kian Ming menggesa kerajaan menangguhkan proses pendaftaran
PADU sehingga beberapa masalah keselamatan diperbetulkan.
Menurutnya langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem
pendaftaran PADU termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah
ada dalam pangkalan data sistem itu.
Bekas Ahli Parlimen Bangi itu turut meminta orang ramai segera
mendaftar di portal PADU kerana bimbang maklumat kad pengenalan boleh digunakan
individu lain kerana kelulusan e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform
Digital) yang mengambil masa tiga hari.
Namun Rafizi semalam menjelaskan pendaftaran e-KYC boleh dilakukan
dalam tempoh kurang lima minit.
Fahmi menjelaskan setakat 10 pagi ini seramai 233,782 orang telah
mendaftar ke dalam sistem PADU dengan seramai 118,115 telah selesaikan
melakukan proses pengesahan e-KYC.
Sistem PADU yang dilancarkan oleh Perdana Menteri semalam
dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit
Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan
kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.
Fungsi utama PADU ialah membantu rakyat mengemas kini dan
membolehkan kerajaan membuat penyasaran bantuan secara tepat selain
menghentikan ketirisan.