KEADILAN Pahang anjur latihan kemahiran digital pimpinan ranting


Oleh: Abdullah Zaid



Seramai 20 peserta dalam kalangan ketua dan setiausaha ranting KEADILAN Pahang hadir dalam latihan kemahiran digital bagi memantapkan keupayaan dan kompetensi ahli, baru-baru ini.


Menerusi satu kenyataan, inisiatif itu dilancarkan di bawah Ketua Biro Ekonomi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Pahang dengan kerjasama Majlis Pimpinan Wanita Negeri (MPWN) KEADILAN Pahang.


Menurut kenyataan itu lagi, latihan di Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC), DUN Tanjung Lumpur turut dikendalikan Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, Sridayu Samsuri yang merupakan graduan Teknologi Maklumat dari Universiti Tokyo, Jepun.


"Melalui latihan ini, para peserta di kalangan pemimpin komuniti didedahkan dengan manfaat dan cara penggunaan efektif aplikasi Google, penggunaan aplikasi Canva dan penyediaan kertas kerja projek bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pemimpin-pemimpin komuniti ini kepada masyarakat.


"Ianya diharap membantu menggerakkan aktivisme ranting-ranting di peringkat pembangunan akar umbi," kata Sridayu.



Dalam kenyataan sama, Ketua Ranting Kampung Kempadang, Mohd Supian Abdul Wahid mengakui program tersebut amat baik dalam melatih beliau untuk lebih mahir menggunakan google drive dan aplikasi Canva dalam menjalankan kerja-kerja komuniti selepas ini.


Ketua Wanita Ranting Kampung Baru Seri Teruntum, Cabang Kuantan, Nordiyana Aziz pula berkata, program latihan berkenaan turut mengajar kaedah yang jelas dalam menggunakan aplikasi digital terutama untuk beliau menggerakan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasannya.


Sementara itu, Naib Pengerusi MPN Pahang Fakhrul Anuar Zulkawi memaklumkan program tersebut akan diluaskan penganjurannya ke seluruh 14 Cabang KEADILAN Pahang pada tahun ini untuk meningkatkan lagi kemahiran digital pimpinan-pimpinan akar umbi.


Katanya, usaha itu akan digerakkan bersama seluruh jentera parti pelbagai peringkat dengan memanfaatkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

 

No comments: