Isteri Tun Daim, dua anak hadir beri keterangan di SPRM


 

Isteri Tun Daim Zainuddin dan dua anaknya hari ini hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu.



Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid bersama Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu pada kira-kira pukul 10.05 pagi bersama dua peguam, lapor Bernama.



Nai’mah dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita sebelum memasuki bangunan SPRM berkata, beliau dan anaknya akan memberikan kerjasama kepada SPRM sebagaimana dikehendaki undang-undang.



Pengarah Bahagian Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan SPRM perlu mengambil keterangan isteri Tun Daim dan siasatan dibuat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pencegahan pengubahan wang haram.



Laporan sebelum ini menyebut SPRM menjelaskan siasatan terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora dan kertas siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu telah dibuka pada Februari tahun lepas.



Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.



Menurut SPRM, siasatan ke atas Daim dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.



Pada Disember lepas, SPRM mengesahkan Menara Ilham di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan Daim telah disita.

 

No comments: