Hassan Karim berkata usul perlu difailkan 14 hari sebelum
persidangan bermula 26 Feb depan.
PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat kerajaan menggesa
pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim
sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb depan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata Perikatan Nasional (PN) perlu serius jika mahu menguji keabsahan Anwar yang didakwa tiada majoriti mudah 112 sokongan, merujuk kepada dakwaan Langkah Dubai.
Menurutnya, tindakan itu boleh dilaksanakan berdasarkan
Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dan usul perlu dikemukakan kepada
Speaker Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum persidangan.
Persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula pada 26 Feb dan
dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi usul boleh difailkan sekarang jika pihak pembangkang
serius untuk bentang usul tidak percaya itu.
“Usul undi tidak percaya itu boleh dibentangkan pada
keesokannya 27 Feb,” kata Hassan kepada FMT.
FMT semalam melaporkan kenyataan seorang peguam Bastian Pius
Vendargon bahawa cara terbaik menguji kepercayaan Ahli Parlimen terhadap Anwar
adalah di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan wujudnya “Langkah
Dubai”, perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara
pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan
pentadbiran Anwar.
Hassan berkata penyokong dari blok kerajaan tidak perlu
mengemukakan usul undi percaya kerana mereka yakin Anwar mempunyai majoriti
untuk terus menjadi perdana menteri.