JIKA UMNO BERKUASA SEMULA. ORANG LAIN PUN TAK BOLEH MAKAN JUGA...

 


UMNO YANG DIRINDUI…


Minggu lalu, saya secara kebetulan terjumpa dengan dua kawan lama yang sudah bertahun-tahun tidak ditemui.


Mereka – seorang Melayu dan seorang Cina – adalah ahli perniagaan yang selama ini banyak terlibat dengan tender-tender kerajaan.


Dapat berbual seketika dengan kedua-dua mereka, macam-macam topik menjadi tajuk perbualan, termasuk mengimbas cerita-cerita lama.


Tidak terkecuali apabila lama tidak berjumpa, persoalan tentang kehidupan semasa dan apa perniagaan yang mereka dilakukan sekarang tentu saja turut disentuh sama.


Secara kebetulan, kedua-dua kawan itu mengeluh tentang perniagaan mereka yang jauh lebih perlahan berbanding sebelum ini.


Secara khusus, oleh kerana mereka mengetahui saya pernah aktif dalam UMNO sebelum ini, tanpa berselindung mereka mengatakan, perniagaan mereka mula mengalami kejatuhan sejak parti lain mengambil alih kuasa.


Kata mereka, ketika zaman UMNO berkuasa, banyak peluang perniagaan boleh diterokai dan diperolehi kerana pemimpin UMNO yang ada kuasa secara umumnya adalah kalangan yang mesra kepada ahli-ahli perniagaan.


“Pemimpin UMNO secara umumnya senang ditemui, kami boleh bercakap macam-macam perkara dan semua cadangan perniagaan “boleh dicerita”, tambah mereka lagi.


Ditanya tentang perniagaan semasa di bawa kerajaan sedia ada sekarang ini, kedua-duanya mengatakan, mereka masih memasuki tender-tender kerajaan seperti dahulu tetapi belum ada kontrak yang berjaya diperolehi lagi setakat ini.


“Ketika zaman UMNO dahulu, kami boleh berjumpa dengan orang-orang parti tertentu dan mereka dengan senang hati sedia memberi pertolongan untuk membawa berjumpa dengan menteri atau timbalan mereka bagi meminta perfolongan.


“Tetapi sekarang, walaupun ada orang parti yang kami temui, tetapi mereka sendiri tidak pasti boleh menolong kerana mereka sendiri sukar berjumpa pemimpin yang sudah ada kuasa itu.


“Itulah masalahnya, kami tiada masalah dengan sistem tender, tetapi mesti ada ruang untuk mengajukan masalah dan meminta pertolongan,” kata mereka seterusnya.


Kawan saya yang Melayu itu pula menambah, sebelum dapat kuasa, pemimpin selalu berkempen untuk diberi kuasa, tetapi setelah ada kuasa dalam tangan, apabila kita cuba untuk minta tolong, kami diberitahu itu bukan kuasa mereka tapi kuasa pegawai kerajaan.


“Siapa yang sebenarnya berkuasa dan untuk apa kuasa sebagai kerajaan diberikan,” soal beliau.


Sejujurnya dalam pergaulan sehari-hari dan bertemu ramai orang, saya sendiri amat kerap dihidangkan dengan cerita-cerita sebegini.


Kadang-kadang terkedu juga mendengar rungutan rakyat marhaen ini, terutama daripada orang-orang parti yang berjuang berpuluh tahun, bermandi peluh serta darah untuk memastikan berlakunya pertukaran kerajaan.


Tetapi, setelah dapat kuasa…ehhh…tiba-tiba semua kuasa semacam hendak dilonggokkan begitu saja kepada pegawai-pegawai kerajaan sehingga nak minta tolong berkaitan pindah sekolah dan masuk asrama pun macam nak minta projek berjuta.


Ada seorang menteri dilaporkan pernah berkata, jangan bercakap soal-soal kontrak atau tender jika datang ke pejabatnya.


Walhalnya, sama ada dalam PRU atau PRN yang lalu, kakitangan kerajaan bukanlah menyokong parti yang menjadi kerajaan sekarang ini.


Majoriti undi pegawai kerajaan adalah kepada parti lain yang kini berada di blok pembangkang.


Entahlah Labu….suara-suara rindu kepada zaman UMNO nampaknya bukan lagi suatu ilusi di kalangan sebahagian rakyat sejak kebelakangan ini.


Memang pertikaian tentang kepimpinan dalam UMNO tetap ada, tetapi era parti itu berkuasa seringkali diimbas, dikenang dan dirindui semula. – ShahbudinHusin 18/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/18/umno-yang-dirindui.html



No comments: