Tiada arahan kerajaan rakyat wajib ambil dos penggalak ketiga- DR ZULKIFLI




 Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan atau mewajibkan seluruh rakyat negara ini untuk mengambil suntikan dos penggalak susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.


Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.


"Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial, sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar, kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan dia agak berbeza dan saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan), jangan terlalu mudah lihat screenshot tanpa lihat konteks berita," katanya kepada pemberita di Wisma Bernama, Kuala Lumpur hari ini.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Xinhua.


Hadir sama Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.


Fahmi berkata beliau juga akan memaklumkan kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menyarankan beliau mengadakan perjumpaan dengan pihak editor media supaya dapat diperjelaskan isu membabitkan dos penggalak tersebut.


Sebelum ini media melaporkan Dr Dzulkefly berkata KMM menyarankan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 terutamanya bagi golongan berisiko tinggi ekoran peningkatan kes sejak kebelakangan ini.


Beliau berkata bekalan vaksin masih mencukupi bagi melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baharu Covid-19 untuk pelaksanaan dos penggalak ketiga.

No comments: