Zainuddin Omar
Pegawai kanan polis yang terlibat dalam insiden langgar lari yang meragut nyawa seorang pelajar di Perak akan didakwa atas tuduhan bunuh.
Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan ringkas berkata, ada cukup bukti dan keterangan untuk mendakwanya atas pertuduhan itu, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
AGC berkata, pegawai kanan tersebut - yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah - akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum kes dipindah ke Mahkamah Tinggi.
Panas baran adalah satu penyakit kronik. Dari laporan pelaku kejar pelajar ini dengan kereta dari belakang sejauh 1 km dan langgar. Lepas itu hanya tengok, tak bantu dan terus beredar.
*****************
IPOH: “Kalau dia (pelaku) tak kena (hukuman setimpal), saya menyesal tak sudah jadi ayah kerana saya nampak depan mata anak saya merintih sebegitu.”
Luahan itu disuarakan Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, bapa kepada pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi 17, yang maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta dipandu pegawai kanan polis dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini pada Jumaat.
Pesara tentera itu nyata tidak dapat menahan pilunya ketika Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, menziarahi kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa di sini, petang semalam.
“Empat puluh minit Datuk, anak saya merintih macam ayam kena sembelih. Dia (pelaku) keluar kereta dan tengok tanpa reaksi sebelum pergi,” katanya lagi.
Muhd Zamrie mengakui isteri pelaku yang juga guru di SMK Jati, datang menemuinya di lokasi kejadian bagi memohon maaf.
“Isteri dia kata suaminya memang panas baran, tak boleh dengar ‘rem’ (memulas pendikit) motosikal.”
“Anak saya bukan penjenayah, dia pelajar sekolah. Adakah atas alasan motosikal bising membolehkan dia dilanggar sampai mati, sedangkan masalah motosikal bising itu boleh diselesaikan dengan mengeluarkan saman.
“Saya hilang anak dan menang atau kalah, anak saya tak kembali. Tapi saya tak mahu kejadian ini berlaku pada anak orang lain.
“Masa kejadian ramai orang dan sesak di situ, dah nak waktu solat Jumaat dan ibu bapa juga mahu mengambil anak dari sekolah.
“Anak saya sudah hentikan motosikal, mungkin nak minta maaf selepas tak larat nak pusing (memecut motosikal), tapi dia (pelaku) melanggarnya dan gelar anak saya ‘budak rempit’,” kesalnya.
Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu disiasat dijalankan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek berusia 44 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu direman tiga hari sehingga esok.
Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari belakang oleh kereta dipandu suspek.