TUAN IBRAHIM, JANGANLAH BUAT LAWAK MINTA JAWATAN SENDIRI SAJA DITANDINGI…



Sama seperti nada suara pimpinan yang lain, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan tuduhan parti itu mengeluarkan arahan agar lima jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.


Menurutnya, PAS tidak pernah menghalang mana-mana kawasan untuk mencalonkan sesiapa sahaja bagi mana-mana jawatan.


“Bahkan, saya sewaktu merasmikan mesyuarat agung beberapa kawasan, memohon agar mereka mencalonkan orang lain untuk jawatan timbalan presiden,” katanya.


Dalam Muktamar Pas yang akan berlangsung pada 20-22 Oktober depan, jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden tidak dipertandingkan.


Ini bermakna penyandang sedia ada – Presiden (Hadi Awang), Timbalan Presiden (Tuan Ibrahim) dan tiga penyandang Naib Presiden (Ahmad Shamsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Nik Abdullah) kekal memegang jawatan untuk sepenggal lagi.


Dalam hal ini, kenyataan Tuan Ibrahim bahawa beliau sendiri meminta orang lain dicalonkan bagi mencabar jawatannya, walaupun bertujuan untuk menampakkan tiada larangan dikenakan kepada sesiapa untuk mencabar tiga jawatan tertinggi itu, ia lebih kelihatan seperti lawak jenaka saja bunyinya.


Ini kerana bila Timbalan Presiden sendiri meminta orang lain mencabar kedudukan yang sedang disandangnya, tentulah tiada sesiapa yang sudi atau berani menyahutnya.


Malah, mungkin ramai yang jadi malu alah pula kerana kata-katanya itu.


Cuba Tuan Ibrahim secara terbuka minta jawatan Presiden Pas atau tiga jawatan Naib Presiden parti itu dipertandingkan, mungkin lain jadi pada muktamar kali ini?


Itu baru betul kalau beliau benar-benar nak lihat ada berlaku pertandingan.


Kemudian apabila jawatan Presiden dan Naib Presiden ada pertandingan, barulah jawatan Timbalan Presiden juga ada yang masuk bertanding.


Soalnya, kenapa Tuan Ibrahim tak pernah bersuara meminta jawatan tertinggi lain dicabar juga?


Mengapa hanya minta jawatannya saja ditandingi?


Tuan Ibrahim, lain kali janganlah buat lawak macam ini!! – ShahbudinHusin 01/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/