Ringgit hanya lemah berbanding Dollar AS, kukuh berbanding Yen, Pound


 

Serangan pembangkang Perikatan Nasional (PN) ke atas kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia sejak sebulan kebelakangan ini amat mengelirukan rakyat dan mengherotkan persepsi terhadap kekukuhan ekonomi negara.



Menurut Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Nor Adam, serangan tidak bertanggungjawab PN dan mempersendakan Kerajaan Perpaduan kerana kononnya gagal mentadbir negara itu sebenarnya tidak berlandaskan fakta.



Tegas beliau, matawang Ringgit hanya lemah berdepan Dollar Amerika Syarikat (AS) dan fenomena kejatuhan seperti itu turut dialami negara maju yang lain.



"Betul matawang kita jatuh. Kena faham mengapa matawang kita jatuh. Sebab Amerika Syarikat naikkan OPR (dasar semalaman kadar faedah). Orang (AS) yang dulu simpan duit di luar balik bawa duit dia labur ke AS.



"Nak buat apa letak (duit) di luar kalau letak dalam negara kadar faedahnya lebih tinggi.



"Betul nilai ringgit jatuh 7.5% berbanding Dollar ikut data 2 Julai lalu. Tetapi Yen Jepun juga jatuh 19.2%, Pound UK jatuh 14.4%, Euro jatuh 11.7%.



"Yuan China jatuh 8.7%, Peso Filipina 9.3%, Baht Thailand 8.7% dan Korea Won jatuh 13.7%," katanya dalam Majlis Penerangan Isu isu Semasa Anjuran Umno Bahagian Shah Alam, malam tadi.



Oleh itu, Lokman mahu rakyat menilai apakah wajar Kerajaan Perpaduan dipersalahkan dengan hanya berpandukan pengukuhan matawang Dollar AS, sedangkan nilai Ringgit sejak beberapa minggu lalu juga mengukuh berbanding matawang utama dunia.



Katanya, Ringgit telah mengukuh 14.2% berbanding Yen, 8.2% berbanding Pound Sterling, Euro 4.5%, New Zealand Dollar 3.9%, Won 7.2%, Yuan 1.1% dan Baht 1.4%.



Malah, kata Lokman, kejatuhan nilai Ringgit sebenarnya boleh menguntungkan pengeksport Malaysia. Namun hal itu, menurut beliau, perlu diterangkan secara menyeluruh oleh Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri agar rakyat tidak dikelirukan sekali lagi.



"Apa kelebihan bila Ringgit jatuh? Saya beri 2 contoh yang cukup besar. Pertama pengeksport boleh eksport dengan harga lebih murah. Kalau eksport harga sama, maka akan dapat keuntungan berlipat kali ganda.



"Kedua kalau nak pergi bercuti, kita akan pergi Thailand atau Indonesia sebab duit kita besar. Pergi Thailand tidaklah berapa besar tetapi mampu.



"Dunia luar pula, mereka nampak berbelanja di Malaysia rendah maka mereka akan datang ke sini. Mereka akan berbelanja dan menambah pendapatan pengusaha hotel kita, syarikat pelancongan dan segala macam (perkhidmatan)," katanya lagi.

 

No comments: