Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri bakal menyaksikan persaingan sengit antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) apabila Pengerusi Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan bahawa gabungan itu berhasrat menambah negeri yang akan dikuasai.
Menurut Datuk Seri Anwar, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan dipertahankan dan kemungkin ada potensi untuk menawan negeri lain berasaskan perkembangan semasa.
“Kalau setakat dari Pakatan Harapan (PH) atau BN, (dari segi) perpaduannya kita tentu tumpu keenam enam.
“Tetapi inshaAllah (berdasarkan) perkembangan sekarang, semua kajian yang dibuat, semasa saya dalam kerajaan ini saya ada maklumat tambahan sikit.
“Saya lihat 3 negeri itu sangat kuat dan boleh dipertahan inshaAllah. Dan kita boleh, sekarang ini nampak menjurus kepada dua negeri lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Auditorium Jakim, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ditanya sama ada berlaku perebutan kerusi di antara PH dan BN menyebabkan pembahagian kerusi mengambil masa agak lama, Anwar menafikannya, dan berkata, Kerajaan Perpaduan amat memberi ruang kepada pimpinan negeri untuk mengemukakan pandangan masing masing.
“Setakat ini tak ada, saya bincang dengan Datuk Seri Zahid (Pengerusi BN) tidak ada. Cuma kita beri ruang lagi kalau ada pandangan yang dikemukakan oleh pimpinan negeri, sama ada PH atau BN,” katanya.
Mengulas apakah Kerajaan Perpaduan akan membuat pengumuman rasmi negeri mana yang akan ditawan, Perdana Menteri memberitahu akan ada pengumuman penting bakal dibuat pada Jumaat ini.
“Saya akan umumkan. Hari Jumaat ini akan ada perhimpunan besar di Selangor. Baru kita luncurkan jentera secara rasmi,” katanya lagi.
Pilihan Raya Negeri bagi keenam enam negeri dijangka akan diadakan serentak pada Ogos ini setelah semua negeri terlibat selesai membubarkan DUN masing masing. Bagaimanapun keputusan akhir tarikh pilihanraya tertakluk kepada mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya yang akan diadakan dalam masa terdekat.