𝗟𝗮𝗽𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝘁𝗲𝗿𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗫𝗣 𝗯𝗮𝗸𝗮𝗹 𝗷𝗮𝗱𝗶 𝘀𝗮𝘁𝘂 𝗹𝗮𝗴𝗶 𝗽𝗿𝗼𝗷𝗲𝗸 𝗺𝗲𝗴𝗮 𝘁𝗮𝗸 𝗯𝗲𝗿𝗳𝗮𝗲𝗱𝗮𝗵?



DR SHAHNOR BASRI DR SHAHNOR BASRI July 3, 2023 9:04 pm


Penulis terpanggil untuk menulis mengenai kekalutan Menteri Besar Kedah mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).


Penulisan ini berasaskan bahawa pengetahuan dan pengalaman akademik penulis yang merupakan mantan Profesor Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia.


Persoalan yang bakal dihujahkan adalah sama ada KXP merupakan satu fasiliti yang harus diberikan keutamaan, aspek ekonomi, sosial, fungsi dan menepati keperluan laluan penerbangan antarabangsa dan domestik yang berdaya maju dan berdaya saing.


Premis awal perbincangan ini adalah pembinaan lapangan terbang bukanlah semudah pembinaan tempat letak kereta. Ia memerluan satu kajian yang lebih menyeluruh, komprehensif dan menimbang faktor keboleharapan (reliability) dan kebolehgunaannya untuk satu tempoh jangka panjang.


Setiap lapangan terbang mempunyai keadaan tempatan yang perlu dipertimbang (local condition), manakala lapangan terbang bertaraf dunia yang terkenal adalah kerana prinsip kegunaan dan praktisnya untuk mencapai kegunaan yang optimal.


Prasyarat bagi menyokong pembinaan KXP tidak boleh terlepas daripada beberapa faktor dan amalan terbaik (best practices). Oleh kerana pembinaan mana-mana lapangan terbang berdaya maju harus dikaitkan dengan kebolehpasarannya sebagai laluan pesawat sama ada untuk kegunaan awam, kargo atau landasan yang berkongsi dengan kemudahan ketenteraan.


KXP hanya akan menjadi projek gajah-putih yang tidak mendokong kemajuan dan ekonomi negara tanpa amalan terbaik dilaksanakan:


1) Persekitaran ekonomi, penguatkuasaan, sokongan politik dan kestabilan. Melihat pentadbiran yang agak caca-marba serta kepimpinan yang tidak mempunyai visi yang jelas dan berdaya maju dari segi implimentasi ekonomi dan tarikan kepada pelaburan yang agak lemah, maka kedudukan KXP tidak akan berdaya saing dan berdaya maju.


Sedangkan Lapangan Terbang Pulau Pinang lebih berdaya maju untuk ditingkatkan memandang negeri tersebut mempunyai sebilangan besar industri yang telah ‘established’ serta pergerakan import-eksport yang telah stabil.


Parameter Kulim ke Lapangan Terbang Pulai Pinang hanyalah 45.2 km, sudah pastilah impak KXP kepada kebolehgunaan dan skala ekonomi lapangan terbang baharu tidaklah menarik pengguna dan pelabur. Melainkan strateginya untuk ‘membunuh’ lapangan terbang Pulau Pinang.


2) Pembinaan lapangan terbang baharu mestilah dengan strategi yang menyeimbangkan antara keutuhan ekonomi dan impak sosial. Impak ini yang akan memberikan dukungan kepada pembangunan komuniti sekitarnya dan alam sekitar.


Dengan keadaan ekonomi dan kebergantungan negeri kepada industri bukan import-eksport, maka keboleh-pasaran KXP kepada perniagaan dan pelaburan masa hadapan menjadi pertimbangan penting dalam peluncuran sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa di utara Malaysia.


3) Sesebuah lapangan tarbang bertaraf dunia hendaklah mencapai tahap ekonomi yang mantap (robust) selaras dengan prinsip ketelusan, tiada diskriminasi, keberkesanan kos selaras dengan prinsip yang dinyatakan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO).


Persoalannya sejauh mana pentadbir kerajaan masa kini telus, tiada diskriminasi yang boleh direflaks (reflected) kepada perjalanan lapangan terbang ini kelak. Sedang isu air Kedah-Pulau Pinang pun menggambarkan sikap kepimpinannya. Penulis pasti ICAO mengambil kira semua ini.


4) Oleh kerana penggunaan lapangan terbang adalah oleh syarikat-syarikat penerbangan awam dan komersil, maka satu ‘survey’ yang menyeluruh dan padu menjadi satu kemestian mandatori.


Persoalan yang perlu dilontar di hadapan, adakah syarikat ternama seperti Cathay Pacific, Japan Airlines, China Airlines, Emirates, Qatar Airway akan menjadikan KXP sebagai destinasi hentian atau transit berbanding Pulau Pinang, KLIA, Singapura atau Bangkok?


Begitu juga syarikat kargo tersohor seperti UPS, FedEx, Emirate Sky-Cargo, Cargolux Airlines dan Korean Air Cargo, adakah akan menjadikan KXP sebagai lokasi pendaratan kargo antarabangsa untuk distribusi dalam dan luar negara? Jika ada berapa peratuskah dari skala eknonomi dalam negara?


5) Satu kajian dan konsultasi menyeluruh juga perlu dilakukan antara pembangun lapangan terbang dengan syarikat penerbangan dalam dan luar negara mengenai modal pelaburan infrastruktur. Adakah tercapai menurut keperluan semasa pengguna dan fungsi-fungsi keselamatan yang tersedia.


Ini perlu dibandingkan dengan Lapangan Terbang Changi, Bangkok dan juga KLIA. Jika ia hanyalah sebuah lapangan terbang ’seadanya’ untuk tujuan retorik politik maka ia berkemungkinan menjadi satu lagi projek mega tanpa faedah kepada negara.


6) Ramalan terhadap tahap masa hadapan aktiviti penerbangan (aviation activities) termasuk sasaran penumpang, kapasiti kargo dan pergerakan pesawat untuk tempoh 20 tahun akan datang haruslah dibangunkan dan digunakan sebagai salah satu bentuk asas sebelum keputusan strategik dilakukan.


7) Kegunaan tanah, ruang yang terbaik dan strategik untuk memastikan keselamatan keseluruhan susun-atur (layout) sistem landasan (runaway systems), terminal dan kemudahan sokongan – dan yang lebih penting ruang udara dibsekitar lapangan terbang bebas dari sebarang halangan.


Serta bebas gangguan bunyi persekitaran yang mencemar kehidupan komuniti manusia dan haiwan. Lukisan arkitek yang cantik dan indah sahaja tidak mempunyai makna keutamaan projek ini kepada kemanusian.


8) Rancangan penggunaan tanah juga harus mengesahkan bahawa pembangunan yang sensitif terhadap kebisingan tidak menceroboh kawasan operasi utama.


Sebenarnya banyak lagi hujahan penting sama ada kerajaan hendak mendukung atau menolak projek KXP termasuk “surface access systems”, fasiliti bahan bakar, penyelenggaraan pesawat dan penyediaan makanan, apron (aprons), pusat kawalan udara (air traffic control), terminal penumpang dan sebagainya.


Parameter lapangan terbang sedia ada juga menjadi faktor pertimbangan utama.


Adalah menjadi cabaran bagi mana-mana pembangunan lapangan terbang untuk memenuhi semua cadangan yang digariskan dengan ringkas dalam makalah ini.


Setiap lapangan terbang perlu mengambil kira keadaannya sendiri (fungsinya) dan menentukan amalan terbaik apa yang dapat digunakan untuk mencapai tujuan fungsi tersebut.


Walaupun begitu, banyak yang dapat dicapai oleh lapangan terbang yang bekerjasama dengan pelanggan utama mereka dalam industri penerbangan ke arah satu set objektif bersama.


Tanpa komunikasi yang mantap dan meluas dengan pemain utama dunia penerbangan (sama ada penumpang atau kargo) serta industri domestik dan antarabangsa, sebuah lagi lapangan terbang mungkin hanyalah satu pembaziran dan beban kepada rakyat.


*Penulis merupakan Profesor dan Timbalan Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) serta Felo Akademi Sains Islam, Jordan.



No comments: