SEMALAM JUMPA PM, MINGGU DEPAN JUMPA PN

 

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) bagi membincangkan mengenai penyertaannya dalam gabungan politik tersebut.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah menetapkan tarikh iaitu dalam minggu hadapan untuk perjumpaan tersebut diadakan.

“Saya sudah tetapkan tarikh dan rombongan beliau (Khairy) akan datang berjumpa dengan saya minggu depan.

“Kita harap beliau akan sertai (PN), bagaimanapun kita serahkan kepada beliau. Beliau sudah cukup bijak dan cerdik untuk membuat pilihan,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy.

Tawaran dikemukakan selepas Khairy dipecat daripada UMNO, mengambil kira kemampuan beliau memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

Bagaimanapun, Khairy sehingga kini belum membuat sebarang kenyataan berhubung tawaran tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini memaklumkan, Khairy masih belum memuktamadkan keputusannya untuk bersama PN.

Kemungkinan Khairy menyertai PN itu juga bagaimanapun kembali menjadi tanda-tanya apabila bekas Menteri Kesihatan itu dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta ahli ekonomi dan pakar industri pada Jumaat bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan peranan bekas Ahli Parlimen Rembau berkenaan dalam perjumpaan bersama Anwar tersebut yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani.




No comments: