Pakaian jururawat: Jangan terlalu prejudis, skeptikal


 Kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor terhadap pemakaian jururawat yang dikatakan terlalu ketat dan tidak patuh syariah disifatkan sebagai terlalu prejudis dan skeptikal.


Menurut Ketua Srikandi Keadilan Negeri Sembilan, Nadhirah Halim, pimpinan pembangkang yang bercakap di parlimen seharusnya lebih mendasari tugas sebagai seorang Ahli Parlimen terutama untuk peka pada isu dan masalah utama rakyat terutamanya di dalam memperbaiki ekonomi atau kos sara hidup rakyat dalam peralihan fasa endemik pada waktu ini.


Namun katanya, sikap Ahli Parlimen PN dalam perbahasan Dewan Rakyat pada Khamis lalu amat mengecewakan kerana lebih mempersoalkan isu peribadi dan mengaitkan soal agama dalam isu kerjaya kejururawatan.

Nadhirah Halim

"Bagi saya pihak pembangkang harus lebih bijak dalam memahami keperluan pemakaian tertentu menurut kerjaya.


"Kod dan etika pemakaian jururawat adalah berdasarkan keperluan pekerjaan kerana setiap pegawai perubatan berdepan dengan risiko dalam mengendalikan peranti perubatan berwayar, mesin pengesan ritma jantung dan pelbagai mesin perubatan yang menggunakan pendawaian dan elektrik bervoltan tinggi seperti mesin ECG dan ventilator.


"Golongan ini harus memakai pakaian yang tidak terlalu longgar agar mudah menjalankan tugas dan mengendalikan mesin peranti perubatan berwayar.


"Pemakaian yang terlalu labuh dan longgar akan meninggikan risiko kepada pegawai perubatan dalam mengendalikan mesin peranti perubatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat KEADILAN itu, uniform bagi setiap pekerja kesihatan juga dicipta khusus mengikut spesifikasi khas yang telah ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia di bawah etika kod pemakaian dan penilaian risiko bagi memudahkan mereka menjalankan tugas memandangkan golongan tersebut berdepan risiko tinggi dalam mengendalikan pesakit seperti cecair, darah dan infeksi dari pesakit.


Malah, katanya, telah ditetapkan pakaian khusus jururawat dibuat daripada 65% poly dan 35% kain kapas yang memberi tapisan maksima terhadap kuman. Kain ini bukan jenis melekap di tubuh dan tidak menyerap.


Oleh itu, beliau menyarankan agar pihak pembangkang tidak mengkritik secara semberono sebaliknya menggunakan ruang sebagai Ahli Parlimen untuk membincangkan isu rakyat yang lebih relevan lagi idealis dalam mewujudkan dasar atau undang-undang yang memihak kepada keperluan rakyat semasa, bukan berbahas isu peribadi dan mengkritik berperisaikan alasan agama.


"Berhentilah mendefinisikan nilai iman dan agama seseorang atau sesetengah kerjaya hanya daripada pemakaian, sebaliknya lihatlah kepada keperluan pekerjaan dan sumbangan mereka dalam bidang perubatan.


"Fokus pada saranan dasar yang lebih menjaga hak kebajikan golongan pekerja kesihatan ini yang paling besar sumbangannya ketika musim pandemik.


"Budaya menghakimi nilai agama seseorang atau sesebuah profesi hanya dari pemakaian yang terzahir adalah tidak wajar.


"Di dalam sebuah hadis bersanad Sahih, Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kalian tetapi Allah melihat kepada hati dan amal kalian."," katanya lagi.


Justeru, Nadhirah yang juga seorang pengamal undang undang menasihati pembangkang supaya menghormati kerjaya dan kod etika kerja seseorang kerana setiap daripada mereka berkhidmat menurut keperluan dan risiko tersendiri.

No comments: