PM umum bantuan RM8.9 juta untuk institusi pendidikan Islam Kedah


 

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan sebanyak RM8.9 juta bagi meningkatkan tahap dan mutu pendidikan di Kedah.



Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM6.4 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pendidikan bagi institusi pendidikan Islam termasuk sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri berkenaan.



"Bagi negeri Kedah sahaja, Kerajaan Perpaduan telah luluskan sejumlah RM604,180 kepada 36 institusi pendidikan Islam ini untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan pendidikan seperti meja, kerusi, almari, projektor, papan putih, kabinet buku dan sebagainya.



"Kerajaan Perpaduan turut akan menyumbang sejumlah RM1.985 juta kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama yang berdaftar di Kedah dalam usaha kita menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam di negeri ini," katanya dipetik Bernama semasa berucap pada majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang dekat Jitra pagi tadi.



Kerajaan juga katanya, bersetuju meluluskan sumbangan lain iaitu RM2.94 juta kepada 588 masjid kariah di 12 daerah di seluruh negeri Kedah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).



Katanya, sumbangan itu bagi pengimarahan masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan menjelang dengan setiap masjid akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000.



"Orang Kedah kata termasuk orang Cherok To'kun, kena 'pekin' (berjimat), bila kita pekin, tak boros kita boleh belanja untuk kebaikan," katanya.



Selain itu, PM juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta lagi kepada pihak SMA Nahdhah Hasanah Melele bagi tujuan membaik pulih sekolah itu.



Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Pengetua SMA Nahdhah Hasanah Melele Mohd Jamil Sadaqi Tajuddin.

 

No comments: