APA HEBATNYA KHAIRY JAMALUDDIN NIH ? ATAU PERNAH MENJADI UTUSAN SUATU KETIKA DAHULU DIZAMAN PAK LAH MENJADI PM

 


WARNA WARNI KJ DENGAN ANWAR, SIAPA UNTUNG JIKA BELIAU DIBERI JAWATAN?

 

 

Di sebalik riuh rendah orang ramai bercakap mengenai kehadiran Khairy Jamaluddin dalam perjumpaan bersama beberapa ahli ekonomi dengan Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, yang lebih banyak diperkatakan akhirnya ialah apa akan jadi kepada bekas Menteri Kesihatan itu selepas ini?

Ada yang mengatakan beliau akan diberi jawatan menteri dalam tempoh terdekat ini.

Yang lain menyatakan Khairy atau KJ akan dijadikan sebagai penasihat khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri.

Ada pula menyebut bekas Ketua Pemuda UMNO yang dipecat daripada parti itu, dengan jawatan dalam kerajaan diberikan lebih dulu kepadanya, selepas ini akan menyertai PKR untuk meneruskan perjuangannya.

Aspek ilmu ekonomi dan memulihkan keadaan negara yang mampu disumbangkannya hampir tidak dipedulikan sama sekali.

Yang lebih diperkirakan, jawatan apa dan apa jadi kepada masa depannya selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri itu.

Soalnya, apakah Anwar turut memikirkan ke arah itu dan memang itu tujuan beliau menjemput KJ bertemu dengannya bersama sekumpulan ahli ekonomi, baru-baru ini?

Ternampak ramai yang teruja dengan jemputan Anwar terhadap KJ itu, termasuk ada penyokong PKR yang mengatakan jika menantu Tun Abdullah Badawi itu memilih bersama dalam kerajaan perpaduan, ia adalah suatu tamparan kepada PN yang lebih dulu cuba memikat bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini.

Kata mereka lagi, dengan KJ memilih bersama kerajaan perpaduan juga, PN dijangka lebih awal tersungkur sama ada untuk menawan Selangor atau Negeri Sembilan dalam PRN akan datang ini.

Menyelak kembali sejarah masa lalu, hubungan Anwar dengan KJ sebenarnya bukanlah baru, walaupun hubungan mereka ada warna warninya yang tersendiri.

Lama sebelum menceburi dunia politik, KJ dikatakan sebagai peminat Anwar sejak beliau belajar di luar negara lagi.

Ketika Anwar dibebaskan daripada penjara pada 2004 melalui keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapatinya tidak bersalah dalam kes Liwat 1, KJ yang ketika itu merupakan menantu Tun Abdullah Badawi telah berkunjung ke rumah Anwar di Bukit Damansara berkaitan urusan passport yang dipohon agar dipercepatkan.

Ia bagi tujuan untuk Anwar segera menjalani rawatan tulang belakang di Jerman selepas pembebasannya itu.

Sejak itu, selain peranannya mengetuai apa yang disebut sebagai Budak-Budak Tingkat 4 menjadi bualan, nama KJ terus hangat diperkatakan berhubung pengaruhnya dalam kerajaan, sambil beliau sendiri terus meniti tangga demi tangga dalam karier politiknya bersama UMNO

Dalam kempen PRU 2008 di mana dalam sebuah ceramah di Lembah Pantai, beliau didapati mengungkapkan perkataan “main belakang” serta menggambarkan Anwar sebagai tidak bermoral, KJ telah disaman fitnah oleh Anwar.

Saman itu diputuskan pada 2017 oleh Mahkamah Tinggi di mana KJ didapati bersalah dan diarah membayar RM210 ribu kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan pada 2018 kemudiannya juga mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Sehinggalah pada 2022 di mana KJ sendiri menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan, maka kekallah Anwar sebagai pemenang dalam kes saman itu.

Selepas kekalahan BN pada PRU

2018, KJ yang hilang jawatan menteri ketika itu sekali lagi menjadi bualan apabila beliau dilihat minum-minum bersama anak sulung Anwar, Nurul Izzah dan Rafizi Ramli di Bangsar.

Perjumpaan mereka itu juga mencetuskan spekulasi kemungkinan ketiga-tiga menubuhkan sebuah parti baru, tambahan lagi Rafizi dan Nurul Izzah ketika terketepi dalam pentadbiran kerajaan PH yang dikuasai Tun Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, semua itu tidak menjadi kenyataan di mana KJ akhirnya kekal bersama UMNO, manakala Rafizi dan Nurul Izzah tetap setia bersama PKR.

KJ pula selepas Langkah Sheraton pada 2020 turut beroleh jawatan menteri, bermula di era Mahiaddin Md Yasin dan kemudian di bawah Ismail Sabri Yaakob.

Selepas kalah di Sungai Buloh pada PRU15 dan dipecat daripada UMNO kerana dilihat sebagai ancaman kepada Zahid Hamidi, seterusnya menjadi penyampai radio Hotfm dan mempopularkan dirinya melalui podcast Keluar Sekejap dengan mengulas pelbagai isu semasa dalam negara, KJ pada hakikatnya tidak membiarkan dirinya tenggelam dalam arus politik negara.

Lantaran ada harga pada dirinya, beliau cuba dipikat oleh Bersatu dan PN untuk menyertai parti itu dengan dijanjikan sebagai calon dalam PRN akan datang.

Walau bertemu beberapa kali dengan Mahiaddin, tetapi KJ tidak membuat sebarang keputusan, sehinggalah beliau dijemput pada Jumaat lalu untuk berbincang mengenai hala tuju ekonomi negara bersama sejumlah ahli ekonomi dan turut disertai bekas Menteri Kewangan Kedua, Johari Ghani.

Susulan perjumpaan tersebut dan spekulasi mengenai dirinya, Mahiaddin dilaporkan akan bertemu KJ sekali lagi minggu depan untuk memuktamadkan tawaran kepadanya.

Ada khabar menyebut, Mahiaddin mungkin menawarkan KJ sesuatu yang sukar ditolak iaitu bertanding di Selangor, seterusnya ditonjolkan sebagai calon Menteri Besar bagi PN dalam usaha mereka menawan negeri itu.

Pokoknya, terutama selepas berjumpa Anwar Jumaat lalu, harga KJ semakin mahal sekarang ini dan PH serta PN seolah-olah saling berebut dirinya.

Apa pilihan KJ?

Bersama Anwar dan kerajaan perpaduan atau bersama Mahiaddin dan PN?

Apa pun pilihan KJ akhirnya, keputusannya tentulah yang memungkinkan mampu memberi lorong lebih baik kepada masa depannya dalam politik.

Kalau Anwar lebih memberi untung, maka itulah pilihan KJ dan sekiranya dengan bersama Mahiaddin pula dirasakan membawa lebih untung, maka bersama Mahiaddinlah pilihan beliau akhirnya.

Di waktu yang sama, baik Anwar atau Mahiaddin, kecenderungan mereka untuk menarik KJ tentulah turut kerana merasakan ada manfaat yang boleh diperolehi dan dipergunakan daripada watak bekas Menteri Kesihatan itu.

Cuma, kita sebagai rakyat dan pengundi biasa – apa untungnya kita daripada mana-mana pilihan KJ itu? – ShahbudinHusin 18/06/2023.

 

 


No comments: