Oleh: Mustaffa Kamil Ayub
ULASAN: Pada tanggal 2 Oktober 2022, Datuk Seri Anwar
Ibrahim (DSAI) meluncur dan mengadakan dialog SCRIPT-MADANI DSAI, "For A
Better Malaysia" di Hotel Dorset Subang, kelolaan IDE dan The Centre for
Postnormal Policy & Futures Studies.
DSAI telah melakarkan dan membahaskan dengan cukup menarik dokumen
SCRIPT (Sustainability, Care and Compassion, Respect, Innovation, Prosperity,
Trust) dari segi visi, naratif, kerangka dan polisinya. Dokumen setebal 178 ms
ini sewajarnya dihayati dan disebarluaskan.
Dapat dikatakan SCRIPT adalah kesinambungan ide Masyarakat Madani
yang pertama kalinya dipopular oleh DSAI di Festival Istiqlal Jakarta 1995.
Masyarakat madani berteraskan
moral
Definisi DSAI mengenai masyarakat madani adalah suatu masyarakat
dengan, "Sistem sosial yang subur berasaskan prinsip moral yang menjamin
keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat;
masyarakat yang mendorong daya usaha serta inisiatif individu baik dari segi pemikiran,
seni, ekonomi dan teknologi, sistem sosial yang cekap dan saksama serta
perlaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang".
Mustaffa Kamil Ayub
Sewaktu usrah bersama Ustaz Dr Razali Nawawi, Almarhum Dr Siddiq
Fadhil dan sejumlah yang lainnya, kami banyak didedahkan dengan ide-ide
masyarakat madani.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa gelombang kebangkitan dan
kesedaran Islam tahun-tahun 1970an, berjaya meletakkan Islam sebagai cara hidup
mencakup segenap dimensi. Ia telah digerakkan oleh DSAI dan sahabat-sahabat
seangkatannya termasuklah Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Razali Nawawi dan Ustaz Siddiq
Fadhil. Ini termasuklah kesedaran pemakaian tudung di kalangan wanita Muslim.
Lahirnya Deklarasi Permatang
Pauh
Buat rakyat Malaysia keseluruhannya masyarakat madani mengajak
kepada semangat inklusif, universal, tiada perkauman sempit, pembelaan mereka
yang miskin dan tertinggal, perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan serta
penghayatan nilai-nilai murni. Dialog antara agama, kaum serta peradaban
disemarakkan dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Penulisan, pengembangan dan pelan tindakan berdasarkan idealisme
masyarakat madani ini sewajarnya dikembangkan oleh semua pihak. Dalam
tahun-tahun 1980an ia juga diterjemahkan dengan antara lain kewujudan
Universiti Islam Antarabangsa dan Bank Islam.
Walaupun selepas peristiwa 2 September 1998, garapan ide
masyarakat madani kurang mendapat perhatian. Secara peribadi, kami juga rasa
terpanggil dengan mengemukakan kajian tesis Sarjana@Master di UKM, 2002,
bertajuk Masyarakat Madani & Idealisme Politik.
Di peringkat awal Gerakan Reformasi, ide masyarakat madani dan
gagasannya ditandai dengan Deklarasi Permatang Pauh (1998). Di dalamnya
terangkum persoalan mengangkat karamah insaniah, keadilan untuk semua,
mendaulatkan kuasa rakyat melalui demokrasi, keadilan ekonomi, membenteras
rasuah dan salahguna kuasa, jati diri budaya dan globalisasi berteraskan
kebenaran dan keadilan.
Justeru, SCRIPT adalah kepeloporan DSAI dalam menterjemahkan ide
masyarakat madani dalam bentuk yang lebih konkrit serta polisi-polisi yang
terkait.
Bina Malaysia yang lebih baik
Berlatarbelakangkan senario semasa negara dan global dengan
kemelut ekonomi, krisis politik, serangan pandemik Covid 19, SCRIPT meletakkan
visinya "To build a sustainable and prosperous Malaysia based on care and
compassion, mutual respect, innovation, and trust, where inclusiveness and
equality is embraced by the whole nation - ultimately a just Malaysian
society".
DSAI memberikan komitmen dalam membina Malaysia yang lebih baik
melalui SCRIPT dengan penegasan "We must now move beyond empty dan selfish
pursuits of power, the myopic prejudices of the past, and the complacent shady
money politics that has taken hold of Malaysia.......Through strong and
truthful leadership, my government will not only lead, but walk with its
citizens, facing the trials of growth and carving out a solid ethical framework
for its actions".
Sejumlah 36 Keutamaan Polisi dalam membina Malaysia Yang Lebih
Baik terutamanya Pasca PRU15, termasuklah mengurangkan gaji dan perbelanjaan
Menteri, menghapuskan tol bagi B40, menghapuskan hutang peneroka FELDA,
melupuskan hutang PTPTN bagi B40, reformasi sejumlah institusi, modernisasi
sistem universiti dan pewujudan Pusat Luar Bandar bagi ekplorasi Agro Pertanian
4.0 serta eco-tourism.
Beliau juga mengutip beberapa potongan Ayat Al Quran dan Hadith
serta sejumlah sentuhan tokoh-tokoh terkait SCRIPT termasuklah Tunku Abdul
Rahman, Ungku Aziz, Ziauddin Sardar, Syed Hussein Alatas, Syed Muhammad Naquib
Al Attas, Onn Jaafar, Sultan Azlan Shah, David Colamder, Gordon Brown,
Shakespeare, Peter Drucker, Confucius dan Bhim Rao Ambedkar.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan koordinator
Gabungan Reformis Malaysia dan Presiden Rapat Rakyat