Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menganggap kerjasama yang dijalin PAS dengan Umno-BN ibarat “durian mentah” yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.
Menjelaskan alasan mengapa PAS memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding menjalin kerjasama dengan BN, Abdul Hadi berkata partinya tidak dapat menerima Umno yang “keruh”.
“Kita (PAS) tak bersama dengan BN kerana ada keruh…. keruhnya masih ada penerima rasuah. Lepas tu rakus pula nak perintah lagi. (
“(Padahal) kita baru tolong bantu jatuhkan PH (Pakatan Harapan),” katanya ketika meyampaikan kuliah mingguan di Marang, Terengganu hari ini.
Abdul Hadi berkata demikian sebagai penjelasan kepada pendirian PAS memilih untuk mengukuhkan PN – yang ditunjangi parti itu dan Bersatu – berbanding Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.
Semalam Abdul Hadi juga menerangkan PAS akan berunding mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PN – bermakna pertembungan mereka dengan Umno-BN tidak dielakkan.
PAS sebelum ini berkali-kali menegaskan mahu mempertahankan ‘agenda perpaduan ummah’ dengan mendamaikan BN dan PN yang bertelagah.
Mengulas lanjut berhubung keputusan PAS semalam, Abdul Hadi hari ini berkata walaupun tindakan itu merupakan jalan sukar tetapi ia adalah yang terbaik buat mereka.
Katanya buat masa ini PAS mahu menjernihkan gabungan mereka bersama PN yang sepakat untuk menolak “pemberi serta penerima rasuah”.
Ahli parlimen Marang itu juga mengakui untuk mencapai kemenangan mudah, Umno-BN adalah pilihan yang lebih baik buat PAS kerana gabungan tersebut memang memiliki ramai penyokong.
“Tapi kita tak (boleh) gopoh. Macam buah durian – jangan dikait cepat sangat, kalau tak masak nanti kembung perut.
“Biar masak betul-betul dulu. Saya tahu ada orang PAS yang tak tahan dah, dah terliur nak makan durian.
“Durian mentah lagi… kena sabar dulu biar masak molek dulu,” katanya dalam kuliah yang turut disiarkan secara langsung di Facebook.
Dalam kuliahnya itu, Abdul Hadi turut membangkitkan isu royalti minyak di negeri pimpinan PAS serta dakwaan isu air melibatkan Kelantan, selain mendakwa BN gagal melaksanakan tanggungjawab sepatutnya dalam Islam meskipun pernah mentadbir negara lebih lima dekad.
Mengenai isu Kelantan, Abdul Hadi meminta rakyat negeri itu bersabar dan mereka sudah melakukannya selama ini walaupun “didera” selama puluhan tahun olen BN.
“Di dalam Umno ni masih ada yang gelenyar (gatal) lagi yang tak sedar. Ni masalahnya (bila ada) kekeruhan.
“Bukan kita nak bermusuh (dengan Umno-BN), tak bermusuh… tapi kerana ada ‘keruh’ ni kita tangguh dulu.
“Jadi kita ambil pendekatan jernihkan keadaan. Banyak orang pujuk saya (dari pangkat) setinggi-tinggi dan serendah-rendah mari (datang) pujuk saya (minta) gabunglah dengan BN,” katanya.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/639548