Penganalisis politik
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir.
Selepas pelbagai spekulasi
berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), akhirnya tanda tanya
tersebut sudah terjawab selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan
secara rasmi Parlimen terbubar.
Walaupun
berdepan tentangan daripada pelbagai pihak, namun nampaknya kehendak Presiden
UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih diutamakan berbanding kehendak rakyat
yang semakin terbeban dengan kesulitan hidup dan juga tidak lama lagi musim
banjir pula bakal tiba.
Penganalisis
politik, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata individu paling gembira
dengan keputusan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri adalah
Zahid kerana selama ini desakan supaya PRU-15 disegerakan berpunca daripada
Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut.
“Suasana
politik yang bodoh masih kelihatan jelas, Zahid Hamidi paling gembiralah sebab
kehendak dia dah dapat.
“Bagi pembangkang mereka tidak
setuju tapi sekarang sudah bubar Parlimen, jadi suka atau tak suka mereka kena
pergi berperang juga lah,” katanya semasa dihubungi Agenda Daily.
Pembubaran
Parlimen pada mulanya ditentang blok pembangkang, termasuk juga parti komponen
dalam kerajaan yang berpendirian tidak sesuai diadakan pada ketika bencana
banjir diramalkan berlaku pada hujung tahun ini.
Namun,
Ismail Sabri tidak dapat menahan lebih lama desakan bosnya, Zahid apabila
hampir saban minggu mengadakan himpunan raksasa dengan menghimpunkan penyokong
parti untuk memberi tekanan kepadanya.
Ditanya
berhubung peratusan pengundi yang rendah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka
dan Johor yang lalu, Salawati berkata situasi sudah berubah apabila orang ramai
sudah menjalani kehidupan seperti biasa sekarang dan meramalkan pengundi baharu
atau muda bakal mengubah corak pola pilihan raya kali ini.
“Satu
benda yang sukar untuk kita ramal adalah budak umur 18 tahun, enam juta
pengundi. Demografi kita akan jadi sangat berbeza, lagipun pada saya
budak-budak ni kita tak boleh nak predict apa ada dalam kepala mereka.
“Pada
saya sebenarnya tiada siapa yang takut nak pergi mengundi, semua orang nak
pergi mengundi jadi sekarang ni pun rakyat memang nak mengundilah sebab sudah
bubar… cuma macam orang rasa tak adil lah kalau kawasan yang dah kena banjir
itu macam mana.
“Memang
ramailah yang akan keluar (mengundi) sebab dah bosan sangat dengan keadaan
Malaysia ni. Walaupun ua-dua pun sebenarnya tak boleh pakai, tapi kita terpaksa
pilih jugalah di antara dua itu,” katanya lagi.
Salawati
menggesa orang ramai agar turun mengundi menunaikan tanggungjawab mereka jika
mahu melihat keadaan negara menjadi lebih baik memandangkan keadaan mencabar
pada tahun depan yang bakal dihadapi negara.
“Kita
sebenarnya kita nak pastikan negara kita lebih baik, kalau boleh biar saja yang
betul-betul berkaliber dapat jadi menteri, dapat pulihkan ekonomi.
“Ekonomi
teruk, duit (ringgit) pun menyusut. Rakyat sebenarnya nak makan tak nak lagi
dibeban dengan masalah kewangan, OPR (kadar jangka masa panjang) yang naik
berganda-ganda, berapa kali setahun.
“Jadi
kalau kerajaan berjaya wujudkan ekonomi yang bagus, pekerjaan yang banyak, saya
rasa siapa pun jadi kerajaan rakyat akan gembira,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan
menentukan tarikh penting bagi PRU-15 pada 20 Oktober ini.