Malaysia ke arah negara orang berumur-menarik untuk peringatan rakyat Malaysia




Salah satu artikel kotak di dalam Tinjauan Ekonomi 2023 ialah berkenaan bilangan rakyat yang berumur 65 tahun ke atas. Sebuah negara dikira negara tua apabila kumpulan umur ini mencapai 7%. Pada tahun 2022 kumpulan umur ini di Malaysia dianggar sudah mencapai 7.3%.

Semakin ramai orang tua, polisi awam perlu dikaji bagi mempastikan kumpulan sasar ini mendapat perhatian yang selayaknya dengan keperluan mereka.

Di antara isu yang biasanya dihadapi apabila ahli masyarakat semakin tua ialah pembiayaan kehidupan seperti pencen. Bagi kakitangan awam, pencen dibayar berdasarkan manfaat yang dijanjikan (defined benefits). Ini bermakna kerajaan terpaksa mencari duit untuk membayar pencen, bukannya berdasarkan simpanan kakitangan berkenaan semasa mereka berkhidmat.

Peningkatan pesara kerajaan yang berusia lanjut bermakna kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak dana dari perbelanjaan operasi kepada segmen ini. Sebaliknya pesara sektor swasta bergantung kepada simpanan KWSP mereka. Semakin kurang tabungan, semakin kurangkah dana yang ada apabila mereka menghadapi hari tua. Inilah sebabnya mengeluarkan tabungan ini ketika muda bukanlah satu tindakan yang bijak.

Satu isu penting yang lain ialah kos kesihatan. Semakin tua seseorang, semakin perlu dia kepada penjagaan kesihatan yang lebih teliti. Bagi orang-orang tua yang rendah pendapatannya, mereka hanya mampu mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan. Kerajaan pula akan lebih tertekan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bermutu bukan sahaja kepada segmen ini tetapi kepada keseluruhan ahli masyarakat yang semakin besar.

Dua isu di atas perlu difikirkan dari sekarang dan perlu tindakan awal sebelum ianya menjejaskan kualiti kehidupan ahli masyarakat. Inilah sebabnya kita memerlukan orang-orang yang mampu membentuk polisi yang kesannya jauh ke hadapan, bukannya dari satu pilihanraya ke satu pilihanraya sahaja.

Orang-orang muda yang bersemangat memilih wakil berdasarkan banyak mana minyak motosikal mereka dituangkan atau boleh bergolek-golek di acara-acara hiburan akan tua dan menanggung kesan air tangan wakil-wakil yang mereka pilih. Bersyarah dan bertakbir sahaja tidak cukup sekiranya wakil yang dipilih hanya mampu membaca doa pembuka dan penutup majlis tetapi tidak ada keupayaan memimpin bagi membentuk polisi yang bermanfaat.

Apabila Kementerian Kewangan memilih untuk menjadikan isu penuaan sebagai artikel kotak di dalam tinjauan ekonomi, ini bermakna mereka nampak isu ini akan menjadi lebih kritikal di dalam masa yang tidak begitu jauh dari sekarang.

 

No comments: