Timbalan Pengerusi Rasuah
Busters Kedah, Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan.
Pengundi perlu memilih calon
dan pemimpin yang berintegriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan
datang sekiranya benar-benar ingin membuktikan mereka menentang dan mahu
menghapuskan budaya rasuah.
Timbalan
Pengerusi Rasuah Busters Kedah, Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan pemimpin
berintegrasi akan menjadi teras kekuatan negara, sekali gus berupaya
memperkukuhkan sistem tadbir urus, elemen semak dan imbang, serta sistem
pentadbiran negara yang responsif.
Beliau
melihat PRU-15 yang bakal berlangsung tidak lama lagi sebagai medan menguji
keyakinan dan kesungguhan masyarakat untuk mendepani isu rasuah.
“Pengundi
harus bijak memilih pemimpin dan jangan memilih secara semberono, sebaliknya
mengundi calon yang mempunyai prestasi bagus, latar belakang baik serta paling
penting memilih pemimpin berintegriti.
“Bukan sahaja golongan pemimpin
atau calon bertanding yang bakal diuji untuk tidak melakukan perbuatan berunsur
rasuah tetapi kumpulan pengundi juga bakal berhadapan ujian menolak imbuhan
sebagai gula-gula pilihan raya,” katanya menurut laporan Sinar.
Dr
Ummu Atiyah yang juga Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan
Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata situasi
tersebut bakal menguji sejauh mana kekuatan individu melawan amalan rasuah,
termasuk sekecil-kecil pemberian sumbangan menjelang PRU-15.
Katanya,
amalan pemberian barangan dan sumbangan wang tunai daripada calon bertanding
sepanjang tempoh berkempen dilihat sebagai satu kebiasaan yang telah berlaku
sekian lama, sedangkan perkara tersebut adalah satu bentuk rasuah atau umpan
undi secara tersirat.
“Jika
kita betul-betul hendak membanteras rasuah, kita perlu membuktikannya.
Kesungguhan kita memerangi budaya rasuah boleh diterjemahkan pada PRU-15 ini.
“Semuanya
bermula daripada diri kita sendiri. Bulatkan tekad dengan menyatakan kita benci
rasuah dan mereka yang menawarkan apa juga bentuk rasuah.
“Buktikan
kita adalah masyarakat Malaysia yang benci budaya rasuah dan kita mahu
memutuskan rantaian rasuah di negara ini,” katanya kepada kru Rasuah Busters
pada Jumaat.
Sehubungan
itu, Dr Ummu Atiyah berkata jika dalam kempen PRU-15 nanti ada calon bertanding
memberi sumbangan berbentuk barangan atau wang kepada pengundi, jika menerima
pemberian tersebut ia adalah satu kesalahan.
Menurutnya,
jika merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM
2009) (Akta 694), kesalahan rasuah adalah meminta atau menerima rasuah, menawar
atau memberi suapan, mengemukakan tuntutan palsu, menggunakan jawatan atau
kedudukan untuk suapan penjawat awam.
Oleh
sebab itu katanya, walaupun pemberian tersirat sepanjang pilihan raya mungkin
melibatkan satu jumlah kecil, tetapi masyarakat membenarkan ia subur menjadi
budaya hidup, maka sebenarnya ia telah menghancurkan negara dan membunuh
generasi masa depan.
“Apabila
kita membiarkan perbuatan rasuah berlaku biar sekecil mana sekalipun,
sebenarnya kita telah membenarkan negara kita dihancurkan dan ia hampir sukar
untuk dihentikan.
“Cuba
fikirkan kesan seterusnya, jika calon tersebut menang dan menjadi orang yang
akan membuat keputusan dan polisi negara, maka adakah terjamin akan kejayaan
polisi tersebut?
“Akhirnya
rakyat juga yang rugi. Rakyat akan rugi kerana berlaku ketirisan belanjawan
yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat. Malah tidak dinafikan ia juga boleh
beri kesan kepada keselamatan negara,” katanya.