BN gagal baiki nasih pekerja ladang berdekad lama
Negara tidak akan mengalami kekurangan pekerja ladang yang amat teruk sekiranya Kerajaan BN – PN mempunyai tekad untuk melatih rakyat tempatan bekerja dalam sektor berkenaan.
Menurut Pengerusi Biro Pekerja Ladang KEADILAN, Dr Gunaraj George, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah merekodkan risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada 2021 dan dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini jika masalah kekurangan pekerja ladang tidak diatasi segera.
Katanya, Kerajaan BN – PN sibuk membawa masuk pekerja asing tetapi terlupa bahawa kos untuk melatih mereka semakin tinggi dan bekalan tenaga kerja asing juga tidak konsisten.
“Kerajaan BN – PN sepatutnya mengambil inisiatif memperkasakan pekerja tempatan dengan menyediakan latihan berterusan bagi memastikan rantaian pekerja ladang tidak terputus. Apa yang kita lihat Kerajaan hanya memberi fokus untuk membawa masuk pekerja asing ke sektor perladangan. Hal ini menyebabkan pekerjaan di sektor perladangan dimonopoli warga asing.
“Kerajaan gagal melatih penduduk tempatan yang kurang pengalaman atau kemahiran bagi mengisi kesemua jawatan di sektor perladangan. Tidak ada rekod menunjukkan Kerajaan berusaha membangun tenaga kerja tempatan sebagai modal sumber manusia yang berkemahiran, berpengalaman dan berpengetahuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Negeri Sentosa itu berkata, kebajikan pekerja ladang pula terus dipandang enteng oleh Kerajaan menyebabkan anak muda tidak tertarik dengan pekerjaan tersebut.
“Keadaan sekolah yang serba daif menyebabkan potensi anak-anak pekerja ladang tidak berkembang dengan baik. Selama 60 tahun Kerajaan BN memerintah, isu pemilikan tanah rumah ibadat di ladang-ladang masih gagal diselesaikan.
“Kegagalan Kerajaan hari ini menjaga kepentingan pekerja dan bekas pekerja ladang semakin jelas apabila kebajikan mereka termasuklah mendapatkan rumah sebagai tempat berlindung gagal diselesaikan.
“Kehidupan keluarga pekerja ladang tidak akan berkembang dengan baik apabila infrastuktur asas seperti sekolah, rumah dan rumah ibadat tidak terjamin,” katanya.
Menurut Dr Gunaraj lagi, KEADILAN bersama Pakatan Harapan akan melakukan tambah-baik dalam isu pekerja ladang bagi menarik lebih ramai rakyat tempatan menceburi sektor berkenaan sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke 15.
“KEADILAN dan PH sentiasa konsisten memperjuangkan setiap hak rakyat Malaysia termasuk pekerja-pekerja ladang.
“Walaupun terdapat beberapa perkara berbangkit yang masih belum diselesaikan sepenuhnya, tekad dan iltizam setiap pimpinan PH akan memastikan setiap masalah berbangkit akan dapat diselesaikan dengan harmoni,” katanya lagi.