Berdasarkan pengakuan Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di Perhimpunan Agung MIC beberapa hari lalu, bukan saja dirinya yang diakuinya tidak bersih, tetapi juga beberapa pemimpin BN lain termasuk Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
Katanya, Mohamad atau Tok Mat adalah termasuk dalam senarai menunggu untuk didakwa.
Dirinya yang sedang dalam perbicaraan mungkin mudah difahami apa yang tidak bersihnya itu, tapi barangkali Zahid Hamidi juga tahu apa yang tak bersihnya timbalannya itu.
Kalau tidak, takkan beliau berani menyebutnya secara terbuka dan di depan kamera.
“Kalau kita kecundang, nasib kita lebih buruk daripada PRU14 lalu, bukan saja saya akan kena dakwa, tetapi juga Tok Mat yang namanya turut dalam senarai untuk didakwa sama.
“Bagi mengelakkan semua itu, BN mesti menang dengan dominan dalam PRU15 akan datang,” ujar beliau yang videonya itu sekarang ini tular bertebaran hingga ke ceruk pedalaman kampung di seluruh negara.
Dengan apa yang diucapkannya itu yang semua orang faham bahawa beliau dan Tok Mat adalah tidak bersih, kedua-dua mereka sebenarnya tidak patut lagi mengepalai kempen BN dalam PRU15 ini.
Zahid Hamidi ialah Presiden UMNO dan Pengerusi BN, manakala Tok Mat adalah Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Pengerusi BN dan Pengarah Pilihan Raya BN.
Keberadaan kedua-duanya yang diakui sendiri tidak bersih oleh Zahid Hamidi itu pasti menjadi persoalan di mata pengundi, lebih-lebih lagi jika mereka turut bertanding sebagai calon.
Mereka bukan saja meletakkan BN dalam keadaan yang diragui, bahkan dengan bertanding pula, ia menjadikan seolah-olah mereka ada kepentingan dalam kemenangan yang ingin dicapai BN iaitu untuk melepaskan diri daripada pendakwaan.
Oleh kerana video ucapan Zahid Hamidi itu sudah tersebar luas ke seluruh negara , selain rakyat di bandar dan separa bandar lebih dulu menontonnya, malah pengundi di luar negara juga dapat menontonnya, ini dengan sendirinya meletakkan peluang kemenangan BN tidaklah lagi secerah seperti sebelum ini.
Tidak ada pengundi mahu memberi undi kepada BN lantaran mereka sedar kemenangan yang dicapai hanya akan digunakan bagi mengelakkan diri kedua-dua pemimpin itu khususnya daripada sebarang pendakwaan.
Bagi mengelakkan nasib buruk menimpa BN, Zahid Hamidi dan Tok Mat bukan saja tidak wajar bertanding lagi, malah wajib menyerahkan tugas mengepalai kempen BN bagi PRU15 ini kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob
Sebagai Perdana Menteri dan “poster boy”, Ismail Sabri mampu membawa lebih keyakinan kepada BN jika beliau diamanahkan memikul tanggungjawab tersebut berbanding Zahid Hamidi dan Tok Mat yang tidak bersih itu.
Lebih berwibawa lagi, tidak seperti Zahid Hamidi yang masih ada kes mahkamah dan dirinya diakui sendiri tidak bersih bersama dengan Tok Mat, Ismail Sabri sebaliknya tiada apa-apa kes yang mencalarkan imejnya. – ShahbudinHusin 15/10/2022.