Bekas Presiden UMNO yang kini menjalani hukuman di Penjara
Kajang, Datuk Seri Najib Razak memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Gabungan Pilihan Raya
Bersih dan Adil (Bersih) telah mengumpulkan kira-kira 121,000 tandatangan dalam
petisyennya memohon agar Yang di-Pertuan Agong tidak memberi pengampunan kepada
bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya, petisyen
menyokong pengampunan diraja untuk bekas Presiden UMNO itu yang dilancarkan
oleh BNComms Selangor memperoleh hanya di bawah 32,000 tandatangan, menurut
Awani.
Laporan juga
menyatakan setakat 10 malam semalam, kadar kedua-dua petisyen, yang dilancarkan
dua minggu lalu sebagai tindak balas terhadap pemenjaraan Najib, semakin
perlahan.
Dua hari lalu, Speaker
Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata petisyen pengampunan rasmi
Najib telah difailkan di pejabatnya pada 2 September.
Memandangkan ia adalah dalam
tempoh 14 hari yang dibenarkan di bawah undang-undang, Najib kekal sebagai Ahli
Parlimen Pekan, tambahnya.
Najib
dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos selepas panel lima hakim di Mahkamah
Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahannya, hukuman penjara 12 tahun, dan
denda RM210 juta kerana menyalahgunakan wang awam RM42 juta daripada SRC
International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dia
berisiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika dia tidak memfailkan
petisyen rasmi untuk pengampunan atau mana-mana prosedur mahkamah lain dalam
tempoh 14 hari untuk membatalkan atau meringankan hukuman penjara dan dendanya
kepada di bawah satu tahun dan kurang daripada RM2,000, seperti yang ditetapkan
dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
Pengampunan
diraja adalah di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan
Agong atau Sultan kuasa untuk memberikan pengampunan atau penangguhan hukuman
kepada banduan.
Kelmarin,
media melaporkan Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah bertitah, bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan
tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawab
pada hari kemudian.
Baginda
yang bertitah ketika menyempurnakan majlis perasmian dan pemasyhuran Kompleks
Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, di
Kuantan, menyatakan undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan
adil akan menjurus kepada penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.
“Ketidakadilan
pelaksanaan undang-undang juga akan menyebabkan pihak yang lemah menjadi mangsa
kepada pihak yang memiliki kuasa.
“Keadilan
tidak akan tercapai jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan
adil kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang sudah
ternoda.
“Akibatnya,
pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa. Maka,
titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam
sesuatu sistem pemerintahan.
“Keadilan
tidak akan tercapai jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka
yang diberikan amanah untuk mentadbir keadilan,” titah baginda lagi.