Isu LCS dokumen awam, kenapa panggil pelapor banyak kali?
Tindakan pihak polis memanggil pelapor kepada skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang didakwa terkait Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dr Latiff Ahmad agak pelik.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Adam Adli Abdul Halim, tindakan menyiasat Naib Ketua AMK, Atyrah Hanim berulang kali tidak perlu kerana beliau membuat laporan polis berdasarkan dokumen Jawatankuasa Kira kira Wang Negara yang boleh diakses sesiapa sahaja.
“Kita sepatutnya tidak lagi layan intimidasi sebegini rupa.
“Semua maklumat terbuka, semua maklumat tidak perlu perah (dapatkan) daripada saksi atau pelapor, sehingga menimbulkan persepsi sesiapa yang berani untuk bersuara ini natijahnya
“Saya yakin di peringkat sahabat yang terlibat, saudari Atyrah, Akmal Nasir dan sebagainya, semangat mereka kuat dan tidak gentar. Polis boleh intimidasi tetapi tidak akan berundur,” katanya.
Adam berkata demikian selepas mengiringi dan bersolidariti kepada Atyrah Hanim yang dipanggil buat kali kedua di IPD Petaling Jaya semalam di atas laporan polis yang beliau buat membabitkan Dr Latiff baru baru ini.