Najib si banduan dan mengapa undang-undang tidak patut diperkotak-katikkan di Malaysia



Keluhuran undang-undang perlu dilaksanakan seadilnya kepada semua - tanpa mengira darjat kehidupan mereka

20 Sep 2022

Ramai di Malaysia yang melepaskan nafas kelegaan apabila bekas Perdana Menteri Najib Razak dihantar ke penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah berkaitan kes rasuahnya.

Mereka yang percaya kepada pentingnya moral di dalam kehidupan seharian merasakan keadilan akhirnya dilaksanakan.

Namun, ia bukanlah pengakhiran kepada kisah yang panjang ini di mana ia cukup mengesalkan buat mereka yang mengikuti saga yang berlanjutan di mana kita menyaksikan bagaimana ada yang olok-olok sakit, sehinggalah kepada peristiwa gigitan anjing yang melambatkan sidang mahkamah.

Sesetengah pihak juga tertanya-tanya jika Najib akan menerima layanan yang sama seperti banduan lain, berdasarkan status politiknya yang terdahulu serta kebiasaan berasaskan diskriminasi dan feudalisme yang masih mengakar di dalam dunia moden Malaysia.

Mereka bertanyakan beberapa soalan. Mengapa Najib tidak digari ketika beliau diiring ke penjara? Mengapa beliau tidak memakai pakaian banduan? Dan mengapa beliau tidak dibotakkan?

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter

·         Become an Aliran member

Untuk hal ini, kita dimaklumkan bahawa ia bergantung kepada budi bicara penguatkuasa penjara.

Penjara sepatutnya menjadi tempat yang menyamakan semua orang. Tidak kiralah jika seseorang penjenayah yang dijatuhkan hukuman itu biasa mempunyai hidup mewah atau kopi kegemarannya.

Dapatlah kita fahami jika pasangan dan anak kebanyakan banduan menyatakan kesedihan dan rasa kehilangan orang yang tersayang. Namun, fakta yang tidak dapat kita ubah adalah para banduan perlu melaksanakan hukuman akibat jenayah dan kesalahan mereka dan harapnya mereka insaf dan berubah menjadi baik.

Kita sedar bahawa Najib, sebagai bekas Perdana Menteri, memerlukan langkah keselamatan tambahan. Selain daripada sebab politik, beliau juga boleh menjadi sasaran banduan lain yang marah serta cemburu, yang hanya boleh bermimpi melakukan perompakan kleptokratik yang sebegitu besar!

Terdapat juga sebuah klip video yang tular, yang disyaki Najib dituduh sedang memeriksa apa yang dilihat sebagai sebuah rumah. Mereka yang skeptik mendakwa bahawa Najib diberikan sebuah rumah di dalam kawasan penjara – yang dinafikan oleh pihak penguatkuasa penjara.

Apa yang kita tahu seterusnya, Najib kemudian dibawa ke hospital kerana – kita semua dimaklumkan – beliau mempunyai komplikasi kesihatan yang serius. Peguam harapannya Shafee Abdullah mendakwa banduan ini perlu dimasukkan darah bagi mengelakkan angin ahmar – pandangan yang membingungkan segelintir pengguna media sosial. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberikan jaminan bahawa Najib akan diperuntukkan hak asasinya untuk mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan seperti banduan lainnya.

Dalam kata lain, jangan ada orang lain yang mendapat keistimewaan berbanding orang lain, misalannya golongan yang terlibat dalam
“scheme of things” itu.

Kisah Najib di penjara ini serta penjelasan oleh Khairy ini perlu disoroti kerana di dalam sebuah masyarakat di mana orang biasa sudah biasa melihat pilih kasih dua darjat – perbezaan di antara ‘kluster kayangan’ (golongan elit) dan marhaen (orang biasa) di dalam soal pelaksanaan dan prosedur perundangan.

Pilih kasih yang tidak adil ini jelas berlaku ketika kuncitara Covid, di mana sesetengah menteri dan selebriti melanggar peraturan – seringkali tanpa diberikan denda berat kepada mereka.

Ramai kini yang tertanya-tanya jika banduan lain juga mempunyai akses penjagaan kesihatan yang cekap seperti yang diberikan kepada Najib. Terdapat segelintir yang mahukan pindaan perlembagaan dilakukan bagi mengelakkan ahli Parlimen yang sudah dijatuhkan hukuman untuk kekal sebagai ahli ketika menantikan keputusan pengampunan sedang dijalankan.

Khabar angin juga rancak di Whatsapp yang mengatakan bahawa Najib barangkali dihantar ke Cheras bagi ‘rehab’ di dalam keadaan yang lebih menyenangkannya. Mereka yang di tampuk kekuasaan perlu memberikan tindak balas dan menyatakan jika perkara ini benar atau tidak dan, jika benar, atas sebab kesihatan apa yang memerlukan beliau dirawat begitu.

Hanya baru-baru ini ramai yang merasa lega apabila sidang lima hakim di peringkat Mahkamah Persekutuan, diketuai oleh Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat, melakukan apa yang patut dan seadilnya. Mereka tidak berganjak apabila berdepan dengan tuduhan jahat di media sosial dan pelbagai bentuk ugutan daripada mereka yang tidak suka akan hukuman yang dijatuhkan kepada Najib.

Sebarang usaha untuk mendapatkan campurtangan eksekutif agar keputusan mahkamah untuk beralih kepada pihak perayu juga akan meletakkan sistem keadilan ke dalam kancah yang merbahaya. Juga jika wujudnya sebarang percubaan untuk memberikan layanan istimewa yang tidak sepatutnya kepada banduan. Sebarang usaha mengubahkan peraturan hanya akan dilihat sebagai memperkotak-katikkan perundangan.

Jika eksekuti atau campurtangan lain wujud, ia akan mengingatkan kita kepada kegelapan krisis perlembagaan pada 1998. ‘Persidangan rujukan’ baru-baru ini oleh kehakiman bagi memperingati arwah Salleh Abas, yang dipecat sebagai Tuan Yang di-Pertua Mahkamah Agung pada 1998, merupakan sebuah peringatan gelap kepada sisa hitam dalam sejarah kolektif kita bersama.

Keluhuran undang-undang perlu dilaksanakan seadilnya kepada semua – tanpa mengira darjat kehidupan mereka. Hal ni akan memastikan agar kita dapat mengangkat kebebasan kehakiman serta demokrasi.

Keadilan perlu diangkat, dan kehakiman, lebih-lebih lagi yang bebas, perlu menjadi benteng harapan terakhir buat rakyat, terutamanya mereka yang miskin dan sebatang-kara.

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
19 September 2022

Terjemahan oleh Zikri Rahman