Umno sibuk tangisi Najib waktu rakyat tak ada kerja
Umno sebagai parti pemerintah telah sampai ke penghujungnya apabila mereka tidak lagi sensitif dengan keperluan rakyat dan keutamaan urustadbir.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, Umno yang mengetuai kerajaan sepatutnya sedang berusaha bersungguh sungguh memulihkan kejatuhan nilai ringgit. Namun sebaliknya, mereka lebih mengutamakan nasib bekas presiden yang dipenjarakan, Najib Razak.
“Sebab itu minggu lepas saya dan Anwar tanya soalan paling penting (berkaitan matawang). Matawang kita berada dalam keadaan paling parah dalam sejarah negara.
“Kali terakhir matawang dalam RM4.40 (berbanding sedollar Amerika Syarikat) tahun 1997 – 1998. Masa itu krisis kewangan sehingga melimpah kepada krisis politik dan lahirlah KEADILAN.
“Sebab kami telah melalui keadaan itu. Bila matawang jatuh sebegitu rupa, ada yang tidak kena dalam negara.
“Semalam bukan RM4.50 lagi tetapi RM4.54. Akhir tahun jadi RM4.70. Sebab itu kami tanya minggu lepas kepada Menteri Kewangan yang Umno tunjukkan sebagai watak baru profesional, CEO bank.
“Tetapi dalam keadaan negara berhadapan krisis kewangan, dia jawab dengan jawapan yang kita dah biasa dengar dari BN.
“Dia jawab keadaan ekonomi sangat baik dan tidak ada masalah. Kau gila ke apa? RM4.54 ini lebih teruk daripada RM3.80, di mana keadaan ekonomi baik?
“Dia jawab lagi, pertumbuhan ekonomi kita April hingga Jun sebanyak 8%. Dia banding dalam bulan April – Jun 2022 dengan tempoh sama 2021. Kau duduk kat gua mana? Memang April 2021 masa lockdown Covid 19. Masa itu memang teruk. Sekarang agak lebih baik tetapi kita kena banding keadaan sebelum Covid,” katanya.
Menurut mantan Ahli Parlimen Pandan itu lagi, sikap mengutamakan nasib Najib lebih daripada segala galanya adalah kebodohan politik yang menyukarkan Malaysia untuk pulih daripada krisis ekonomi.
Katanya, isu titik bengek berkaitan Najib kini dijadikan isu nasional sedangkan rakyat tiada pekerjaan, barang mahal serta ekonomi semakin buruk.
“Harga barang naik, rakyat susah dapat kerja. Umno BN pernah dengar tak apa yang difokus pasal rakyat sekarang?
“Sebarang program Umno dia ada 2 – 3 benda saja. Pertama menangis. Mula dulu menangis Najib masuk penjara, kemudian mereka menangis sebab ubat Najib. Sekarang berita pasal Najib kemurungan. Memang la masuk penjara murung. Mana ada orang masuk penjara gembira.
“Kau dah sakau duit masuk penjara memanglah sedih.
“Orang tengah masalah ekonomi, mata wang jatuh, budak budak tak ada kerja, banjir nak datang tetapi kecoh satu kerajaan pasal ubat Najib berubah. Dua Menteri kena jawab. Menteri Kesihatan pun kena jawab, kena sekolahkan menteri Umno, beza ubat paten dengan ubat generik. Memang nama lain tetapi kandungan sama.
“Yang paling kita letih berita Rosmah rindu dekat Najib. Memang la dah Najib kat penjara. Tetapi soal rindu itu jadi isu nasional. Umno ni makin gila,” sinisnya.
Manakala bagi menjawab pendapat yang skeptikal tentang apa yang mampu dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan jika diberi peluang memerintah dalam keadaan yang tenat, Rafizi memberi analogi mudah.
Katanya, jika diibaratkan pesakit diabetis seseorang perlu mengambil keputusan segera apabila penyakit itu telah melarat. Katanya, rakyat juga perlu bertindak tegas pada ketika ini untuk menukar kerajaan dan memulihkan apa yang terdaya.
“Kalau kita sakit, keputusan kita ialah bila nak makan ubat. Kalau tak makan ubat dari panas jadi terbaring, tak makan ubat juga kena masuk hospital, masuk air. Kalau tidak juga kamu masuk ICU.
“Kalau kita tukar kerajaan sekarang, perkara kita buat adalah buka balik kontrak dan konsesi yang ada selama puluhan tahun.
“Kerajaan boleh buat undang undang satu suruhanjaya khas boleh semak balik semua konsesi yang tidak adil kepada rakyat, runding semula atau bawa ke mahkamah.
“Kalau tak ambil semua pun, boleh kurang ketirisan setiap satu yang kita bayar sampai cucu cicit mereka (BN) kaya raya,” katanya lagi.