Keluhuran
undang-undang perlu dilaksanakan seadilnya kepada semua - tanpa mengira darjat
kehidupan mereka
20 Sep 2022
Ramai di Malaysia yang
melepaskan nafas kelegaan apabila bekas Perdana Menteri Najib Razak dihantar ke
penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah
berkaitan kes rasuahnya.
Mereka yang percaya
kepada pentingnya moral di dalam kehidupan seharian merasakan keadilan akhirnya
dilaksanakan.
Namun, ia bukanlah
pengakhiran kepada kisah yang panjang ini di mana ia cukup mengesalkan buat
mereka yang mengikuti saga yang berlanjutan di mana kita menyaksikan bagaimana
ada yang olok-olok sakit, sehinggalah kepada peristiwa gigitan anjing yang
melambatkan sidang mahkamah.
Sesetengah pihak juga
tertanya-tanya jika Najib akan menerima layanan yang sama seperti banduan lain,
berdasarkan status politiknya yang terdahulu serta kebiasaan berasaskan diskriminasi
dan feudalisme yang masih mengakar di dalam dunia moden Malaysia.
Mereka bertanyakan
beberapa soalan. Mengapa Najib tidak digari ketika beliau diiring ke penjara?
Mengapa beliau tidak memakai pakaian banduan? Dan mengapa beliau tidak
dibotakkan?
Support
the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free
daily email updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran
Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Make a pledge or schedule an auto
donation to Aliran every month or every quarter
Untuk hal ini, kita
dimaklumkan bahawa ia bergantung kepada budi bicara penguatkuasa penjara.
Penjara sepatutnya
menjadi tempat yang menyamakan semua orang. Tidak kiralah jika seseorang
penjenayah yang dijatuhkan hukuman itu biasa mempunyai hidup mewah atau kopi
kegemarannya.
Dapatlah kita fahami
jika pasangan dan anak kebanyakan banduan menyatakan kesedihan dan rasa kehilangan orang yang tersayang.
Namun, fakta yang tidak dapat kita ubah adalah para banduan perlu melaksanakan
hukuman akibat jenayah dan kesalahan mereka dan harapnya mereka insaf dan
berubah menjadi baik.
Kita sedar bahawa Najib, sebagai bekas Perdana Menteri, memerlukan langkah keselamatan tambahan. Selain daripada sebab politik, beliau juga boleh menjadi sasaran banduan lain yang marah serta cemburu, yang hanya boleh bermimpi melakukan perompakan kleptokratik yang sebegitu besar!
Terdapat juga sebuah
klip video yang tular, yang disyaki Najib dituduh sedang memeriksa apa yang
dilihat sebagai sebuah rumah. Mereka yang skeptik mendakwa bahawa Najib
diberikan sebuah rumah di dalam kawasan penjara – yang dinafikan oleh
pihak penguatkuasa penjara.
Apa yang kita tahu
seterusnya, Najib kemudian dibawa ke hospital kerana – kita semua dimaklumkan –
beliau mempunyai komplikasi kesihatan yang serius. Peguam harapannya Shafee
Abdullah mendakwa banduan ini perlu dimasukkan darah bagi mengelakkan angin
ahmar – pandangan yang membingungkan segelintir pengguna media sosial.
Menteri Kesihatan
Khairy Jamaluddin memberikan jaminan bahawa Najib akan diperuntukkan hak
asasinya untuk mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan seperti banduan
lainnya.
Dalam kata lain,
jangan ada orang lain yang mendapat keistimewaan berbanding orang lain,
misalannya golongan yang terlibat dalam
“scheme of things” itu.
Kisah Najib di penjara
ini serta penjelasan oleh Khairy ini perlu disoroti kerana di dalam sebuah
masyarakat di mana orang biasa sudah biasa melihat pilih kasih dua darjat –
perbezaan di antara ‘kluster kayangan’ (golongan elit) dan marhaen (orang
biasa) di dalam soal pelaksanaan dan prosedur perundangan.
Pilih kasih yang tidak
adil ini jelas berlaku ketika kuncitara Covid, di mana sesetengah menteri dan
selebriti melanggar peraturan – seringkali tanpa diberikan denda berat kepada
mereka.
Ramai kini yang
tertanya-tanya jika banduan lain juga mempunyai akses penjagaan kesihatan yang
cekap seperti yang diberikan kepada Najib. Terdapat
segelintir yang mahukan pindaan perlembagaan dilakukan bagi
mengelakkan ahli Parlimen yang sudah dijatuhkan hukuman untuk kekal sebagai
ahli ketika menantikan keputusan pengampunan sedang dijalankan.
Khabar angin juga rancak di Whatsapp yang mengatakan bahawa Najib barangkali dihantar ke Cheras bagi ‘rehab’ di dalam keadaan yang lebih menyenangkannya. Mereka yang di tampuk kekuasaan perlu memberikan tindak balas dan menyatakan jika perkara ini benar atau tidak dan, jika benar, atas sebab kesihatan apa yang memerlukan beliau dirawat begitu.
Hanya baru-baru ini
ramai yang merasa lega apabila sidang lima hakim di peringkat Mahkamah
Persekutuan, diketuai oleh Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat, melakukan apa
yang patut dan seadilnya. Mereka tidak berganjak apabila berdepan dengan tuduhan
jahat di media sosial dan pelbagai bentuk ugutan daripada mereka yang tidak
suka akan hukuman yang dijatuhkan kepada Najib.
Sebarang usaha untuk
mendapatkan campurtangan eksekutif agar keputusan mahkamah untuk beralih kepada
pihak perayu juga akan meletakkan sistem keadilan ke dalam kancah yang
merbahaya. Juga jika wujudnya sebarang percubaan untuk memberikan layanan
istimewa yang tidak sepatutnya kepada banduan. Sebarang usaha mengubahkan
peraturan hanya akan dilihat sebagai memperkotak-katikkan perundangan.
Jika eksekuti atau
campurtangan lain wujud, ia akan mengingatkan kita kepada kegelapan krisis
perlembagaan pada 1998. ‘Persidangan rujukan’ baru-baru ini oleh kehakiman bagi
memperingati arwah Salleh Abas, yang dipecat sebagai Tuan Yang di-Pertua Mahkamah
Agung pada 1998, merupakan sebuah peringatan
gelap kepada sisa hitam dalam sejarah kolektif kita bersama.
Keluhuran
undang-undang perlu dilaksanakan seadilnya kepada semua – tanpa mengira darjat
kehidupan mereka. Hal ni akan memastikan agar kita dapat mengangkat kebebasan
kehakiman serta demokrasi.
Keadilan perlu
diangkat, dan kehakiman, lebih-lebih lagi yang bebas, perlu menjadi benteng
harapan terakhir buat rakyat, terutamanya mereka yang miskin dan sebatang-kara.
Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
19 September 2022
Terjemahan oleh Zikri Rahman