Cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Yasin, Radzi Jidin dan beberapa pemimpin Bersatu agar Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan untuk berkerjasama dengan blok berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 disifatkan sebagai mengarut.
Bagi Ketua Wanita PH Aiman Athirah Sabu, cadangan kerjasama tersebut hanya disuarakan oleh Mahiaddin atau Bersatu setelah parti komponen dalam PN menemui jalan buntu untuk mencapai kemenangan yang diharapkan dalam pilihan raya.
Oleh itu, ajakan seperti itu katanya, tidak ikhlas kerana tidak bertujuan menyelamatkan rakyat melainkan lebih kepada survival politik pemimpin PN sendiri.
"Saya yakin dan percaya, Bersatu akan menjadi pihak yang paling rugi seandainya berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU15 nanti.
"Baik Mahiaddin mahupun Radzi Jiddin sudah tentu sangat menyedari rakyat akan menghukum mereka dalam PRU15 atas tindakan pengkhianatan mereka sehingga jatuhnya kerajaan mandat rakyat Pakatan Harapan pada Februari 2020.
"Seperkara utama yang Mahiaddin dan pemimpin-pemimpin Bersatu mungkin gagal atau tidak mahu memahami adalah Pakatan Harapan tidak mungkin sama sekali untuk menerima sebarang kerjasama dengan para pengkhianat mandat rakyat," katanya.
Aiman yang juga Ketua wanita Amanah itu sekali lagi mengingatkan Mahiadddin dan pemimpin Bersatu bahawa pengkhianatan mereka yang meruntuhkan kerajaan pada 2020 lalu masih segar diingatakan penyokong PH.
Tidak mungkin penyokong akan menerima Bersatu sekali lagi untuk bergandingan dengan barisan kepimpinan PH.
"Kesan daripada pengkhianatan pada 2020 itu bukan sahaja telah membawa kepada jatuhnya kerajaan PH, bahkan menyebabkan politik negara berada dalam keadaan sangat kucar kacir dan tidak stabil.
"Ini sekaligus menjejaskan lagi keyakinan para pelabur asing kepada negara kita yang turut menyebabkan pelbagai kesan domino yang bukan sedikit kepada maruah, moral dan masa depan negara.
"Tindakan pengkhianatan Mahiaddin dan Bersatu ini juga telah memberi kuasa semula kepada regim Umno BN, penyamun dan perompak negara kembali memerintah Malaysia," katanya lagi.
Oleh itu, Aiman mahu semua parti komponen PH tidak mempedulikan tawaran Bersatu atau PN dan fokus kepada memperkemas saf menjelang PRU15
Katanya, tiba masa untuk PH menghadapi PN sebagai musuh politik dan membina gelombang menenggelamkan mereka dalam kemaraan sekali lagi ke Purtajaya.