Polis siasat Zahid susulan dakwaan fitnah, hina badan kehakiman
PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapannya ketika Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Ia susulan 12 laporan diterima ke atas Zahid berhubung ucapannya.
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Skandaguru Anandan berkata, kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan membuat laporan polis terhadap Zahid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Sany berkata, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib Razak, minggu lalu.
Selain itu, wanita Pakatan Harapan (PH) turut membuat laporan sama jam 3 petang hari ini.
Sabtu lalu, Umno menganjurkan taklimat khas presiden antara lain menyentuh kesiapsiagaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-15 serta solidariti ke atas Najib yang dihukum penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.