Segerakan Bajet 2023, PM Ismail ditekan pemimpin Umno, pemerintahan lemah - Anwar






 Penyegeraan pembentangan bajet atau Belanjawan 2023 oleh pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperlihatkan kelemahan kerajaan BN - PN dalam menghadapi kelompok elit Umno.


Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2023 tidak akan diawalkan tanpa tekanan dalaman Umno yang berkemungkinan untuk menyegerakan tarikh Pilihan Raya Umum ke 15 pada tahun ini.


"PM Ismial Sabri telah menetapkan supaya belanjawan diawalkan 3 minggu ke 7 Oktober. Dia ada wewenang untuk melakukannya. Tetapi yang nyata menjadi rahsia umum, dia menghadapi tekanan yang kuat oleh pimpinan Umno.


"Jadi kita lihat PM yang tidak punya kekuatan untuk menentukan (tarikh belanjawan) tetapi di bawah telunjuk pimpinan Umno," katanya dalam satu siaran media.


Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, belanjawan yang dibetang secara tergesa gesa ini akan mempunyai banyak kelemahan terutamanya berkemungkinan tiada lagi perundingan bersama PH, sebagaimana dilakukan sejak 2 tahun lalu bagi memberi tumpuan yang lebih terhadap isu isu rakyat dan ketelusan pengagihan peruntukan.


"Dalam proses penyediaan belanjawan umumnya dalam praktik setahun dua yang lalu, ada perundingan dengan PH berdasarkan memorandum persefahaman. Umpamanya aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan, pertanggungjawaban dalam beberapa isu ppkok yang mahu dibentangkan.


"Ini belum bermula, bermakna mereka itu terburu buru melaksanakan. Maka diandaikan hal ini dilakukan supaya memberikan sekali lagi ruang kepada PM menentukan tarikh pilihan raya," katanya.


Bagaimanapun, desakan mempercepat Belanjawan 2023 itu, kata Anwar, seharusnya memberi kesedaran kepada rakyat betapa lemahnya pentadbiran PM Ismail Sabri.


Justeru, tegas beliau, rakyat perlu menukar mandat kepada kerajaan yang kuat dalam PRU 15 untuk memastikan negara diurus dengan lebih bijaksana dan berhemah.


"PM sekarang yang terhoyong hayang bertindak mengikut selera kelompok dalam parti beliau membuktikan kepada kita bahawa kita perlukan mandat yang kuat.


"Kerajaan yang stabil dengan mandat yang jelas supaya pemerintahan baharu ini boleh menumpukan perhatian terutama dalam memastikan tatakelola kerajaan yang baik, menghapuskan rasuah yang bukan secara terpilih," katanya.


Anwar berharap rakyat akan membuat perubahan dan mengetepikan kerajaan lemah pada waktu ini yang mengikut telunjuk tokoh yang takut hadapi pendakwaan di mahkamah, serta tidak berminat menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat.