NIK HASYUDEEN
Ukur baju di badan sendiri
Pepatah orang tua-tua ini sebenarnya adalah pedoman untuk
membentuk strategi perniagaan.
Walaupun kita mungkin bercita-cita besar untuk membawa
perniagaan ke tahap yang tinggi, kita kena juga realitik berkenaan setakat mana
kita mampu mencapainya. Jika nak bina kilang tetapi tak ada tanah dan modal,
mungkin cara yang terbaik hanyalah menyewa sahaja.
Malah, syarikat-syarikat global membeli komponen dari pembekal
luar yang kena melabur di dalam kilang dan sebagainya. Ini bukan sahaja
mengurangkan keperluan modal tetapi mengurangkan juga risiko. Jika komponen
baru diperlukan dan tidak mampu dibekalkan oleh kilang pembekal sedia ada, cari
pembekal baharu sahaja. No hard feelings.
Di dalam bahasa pengurusan moden, pepatah di atas mungkin boleh
diistilahkan sebagai “capability risk” atau risiko keupayaan. Manakan kita
mampu untuk memeluk gunung Kinabalu yang tersergam gagah di dalam foto yang
saya kongsikan ini. Jika kita sedar diri, strategi yang dibentuk akan menjadi
lebih realistik dan mampu dilaksanakan dengan berkesan.
Mungkin isu perolehan kapal LCS boleh dielakkan sekiranya kita
sedar setakat mana kemampuan yang ada. Memanglah mengeluarkan kelengkapan
perang kita sendiri merupakan satu strategi yang bijak. Persoalannya mampukan
kita. Di dalam negara yang terkenal dengan pelbagai wawasan, perancangan dan
blue print, kita semua maklum akan rekod pelaksanaan setakat ini. Setakat
manakah pencapaian Wawasan 2020, jika kita ingat lagi?
Kemampuan yang tidak cukup apabila dicampur tengan dengan tadbir
urus yang lemah serta disiplin pelaksanaan yang longgar akan menyebabkan apa
yang dicita-citakan menjadi mimpi ngeri. Di dalam perolehan kapal ini, bukan
sahaja ianya lambat dan memberi kesan ke atas strategi pertahanan negara,
menyiapkan kesemua kapal tentunya akan memerlukan lebih banyak peruntukan.
Penurunan nilai Ringgit sudah cukup sebagai satu faktor utama.
Mengukur baju di badan sendiri, untuk projek-projek pembangunan,
seharusnya meliputi tahap kompetensi dan integriti pegawai-pegawai pelaksana.
Dana yang digunakan datangnya dari pembayar cukai. Mereka ada hak ke atas
bagaimana dana yang dikutip itu dibelanjakan. Jika perancangan dan pelaksanaan
dibuat secara sambil lewa sahaja, bersembunyi di belakang gunung Kinabalu pun
tidak selamat apabila dihisab oleh Allah di akhirat kelak.