PKR dan PH siap sedia hadapi PRU15 seawal Oktober

 

Sinar Harian
PKR siap sedia hadapi PRU15 seawal Oktober
Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin PKR bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kekuatan penuh seawal Oktober. - Gambar BERNAMA
SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin parti itu bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kekuatan penuh seawal Oktober.
“Seperti mana yang disebut oleh Pengarah Pilihan Raya (Rafizi Ramli tadi, (kita) siap sedia (gerak kerja) sehingga akhir September.
"Maknanya Oktober itu kita dah bersedia penuh,” katanya pada sidang media pada Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022, di sini, pada Sabtu.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR sebelum itu ketika berucap pada konvensyen tersebut berkata, pembahagian kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) akan diselesaikan dalam tempoh sebulan dari sekarang.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, senarai pendek awal calon PRU15 parti itu juga dijangka dikeluarkan dalam tempoh yang sama.
Dalam pada itu, Anwar berkata, PKR dan PH sudah merangka strategi untuk menangani beberapa kelemahan yang berlaku dalam dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini di Johor dan Melaka.
“Jadi akui kita ini juga adalah sebahagian besar terpalit dengan penguasaan 22 bulan kerajaan PH. Sebab itu dalam mesyuarat Majlis Presiden PH lalu keputusan kita adalah satu logo.
“Kita buat beberapa penyesuaian supaya rakyat tidak dibebankan dengan anggapan atau andaian kita guna pendekatan yang sama,” ujarnya.