Pembentangan belanjawan awal terburu-buru, tiada perbincangan, kata Anwar
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan kerajaan mempercepatkan pembentangan Belanjawan 2023 sebagai terburu-buru dan dibuat tanpa berbincang dengan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Port Dickson berkata tindakan itu juga dilakukan bagi memberi ruang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menentukan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Anwar berkata, biarpun tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanjawan 2023 bukan sesuatu yang luar kelaziman, namun dakwanya, ia jelas menunjukkan Ismail berdepan tekanan dari dalam partinya.
“Proses penyediaan belanjawan kali ini juga tidak seperti tahun sebelum ini yang turut membabitkan Pakatan Harapan bagi membincangkan isu pokok seperti percukaian.
“Umumnya dalam praktik kita dalam satu dua tahun ini, ada perundingan PH berdasarkan memorandum persefahaman, umpamanya aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan, pertanggungjawaban dalam beberapa isu pokok yang mahu dibentangkan
“Ini (rundingan) belum bermula, bermakna mereka terburu-buru melaksanakan (pembentangan belanjawan),” katanya menerusi video dimuat naik di Facebooknya.
Beliau berkata, bukan lagi rahsia apabila perdana menteri menghadapi tekanan yang kuat oleh pimpinan Umno.
“Jadi kita ada perdana menteri yang tidak punyai kekuatan untuk menentukan, tetapi di bawah telunjuk pimpinan Umno,” katanya.
Kata Anwar lagi, rakyat memerlukan mandat lebih kuat dan bukannya perdana menteri yang terpaksa bertindak mengikut “selera” pimpinan kelompok dalam partinya.
Beliau berkata, rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dengan mandat yang jelas supaya pemerintahan baharu boleh menumpukan perhatian.
“Pertama memastikan tatakelola kerajaan yang baik, menghapus rasuah bukan cara terpilih kerana sementara ada yang dimasukkan ke penjara tetapi ia tidak menjadi pengajaran, soal ketirisan dan rompakan itu berterusan,” katanya.
Anwar berkata, selain itu isu besar lain perlu ditangani termasuk peningkatan kos sara hidup, pembaharuan pendidikan, kemudahan kesihatan, menghadapi pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) serta perubahan iklim, dengan banjir berlaku beberapa kali dalam setahun.
“Malangnya satu pentadbiran yang lemah seperti yang ada sekarang di bawah telunjuk beberapa tokoh yang takut hadapi pendakwaan di mahkamah, tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup yang meningkat.
“Jadi kita harap rakyat akan diberi pencerahan bersama untuk bangkit bertindak menuntut perubahan dan pembaharuan yang menyeluruh,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Belanjawan 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Okt ini akan dibentang tiga minggu lebih awal.
Ia dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, selepas diputuskan dalam mesyuarat Kabinet. Mengikut takwim di laman web Parlimen, mesyuarat ketiga penggal kelima dijadualkan bermula 26 Okt hingga 15 Dis 2022.
Keputusan awalkan pembentangan belanjawan itu susulan desas-desus pembubaran Parlimen akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15.