A.KADIR JASIN
Gila Dulu dan Sekarang
1. Dulu mudah. Orang tidak siuman atau kurang siuman dipanggil
orang gila. Ada juga disebut kes mental.
2. Orang gila yang bercakap sendiri, berpakaian koyak-rabak dan
berjalan ke hulu hilir tanpa membahayakan orang ramai, dibiarkan begitu saja.
3. Yang gila sekali-sekala, macam gila meroyan, akan dikurung di
dalam rumah apabila terjadi kegilaannya. Kalau tidak terkawal juga, akan diikat
pada tiang rumah.
4. Yang betul-betul teruk dan membahayakan orang ramai barulah
dihantar ke rumah sakit otak atau hospital gila.
5. Saya dah tak ingat bila, tapi lama-kelamaan istilah macam
orang gila, rumah sakit otak dan hospital gila tidak dibenarkan lagi.
6. Sebelum istilah dan nama macam itu dihentikan penggunaannya,
semua orang tahu ada dua buah hospital sakit mental atau hospital gila di
Semenanjung Tanah Melayu, iaitu di Tanjong Rambut, Perak dan Tampoi, Johor.
7. Tidak tahulah pasal apa penjajah Inggeris mendirikan hospital
itu di Perak pada 1910 dan Johor 1915. Boleh jadi kerana pentadbiran kolonial
mempunyai kepentingan ekonomi yang besar di kedua-dua buah negeri itu dan
mereka mendapati ada banyak orang gila.
8. Sekarang hospital psikiatri Tanjong Rambutan dikenali sebagai
Hospital Bahagia Ulu Kinta dan hospital psikiatri Tampoi ditukar menjadi
Hospital Permai. Terpulanglah kepada masing-masing memberi erti kepada apa yang
dimaksudkan dengan bahagia dan permai itu.
9. Banyak laporan mengatakan semakin ramai penduduk Malaysia
mengalami masalah psikiatri sehingga membawa kemudaratan kepada diri sendiri
dan orang sekeliling mereka.
10. Tapi saya berpendapat, di Malaysia kita ini, hanya orang
gila saja yang mempersendakan agama sendiri, apatah lagi agama orang lain. Tak
kiralah di mana dan untuk tujuan apa. Lagilah orang Islam yang mengaku hafal
lebih separuh al-Quran lepas itu telanjang separuh.
11. Masalahnya, jika seseorang itu disahkan gila oleh pakar
psikiatri, dia tidak boleh dibicarakan oleh mana-mana mahkamah undang-undang
atau dikenakan apa-apa tindakan kecuali rawatan psikiatri di rumah sakit otak.
Jadi berhati-hatilah kalau nak buat gila. Padahnya buruk.
Wallahuaklam.
Penerangan gambar berbunyi: Hospital Mental Baru Tampoi, Johor.
Blok Pentadbiran (1937)