Rasanya sudah hampir kali yang ke-1000 kita mendengar pemimpin parti di luar PH bercakap dengan nada yang sama tentang khemah besar.
Nadanya tidak lain ialah mereka memang setuju dengan khemah besar tapi tidak setuju jika Anwar Ibrahim jadi ketuanya.
Dengan yang terbaru di mana Timbalan Presiden Pejuang, Marzuki Yahya bercakap lagi mengenainya, ia sebenarnya hanyalah ulangan nada yang sama yang sudah kerap dilontarkan sebelum ini.
Tun Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan entah siapa-siapa lagi daripada kelompok yang sama apabila bercakap soal kerjasama politik sesama pembangkang, maka itu sajalah pandangan mereka.
Lagi-lagi tak mahu Anwar dan tak boleh terima kepimpinan Pengerusi PH itu.
Kenapa tak cakap saja yang mereka sebenarnya mahu Tun Mahathir mengetuai khemah besar itu?
Yang bercakap nada begitu, macamlah mereka itu besar, kuat dan gagah melebihi PH yang ada tiga parti – PKR, DAP dan Amanah – di dalamnya.
Bila agaknya kali terakhir mereka menengok cermin?
Kalau diri sendiri pun lebih kecil, hidup segan mati tak mahu, bertanding hilang semua deposit, janganlah cuba buat macam-macam karenah kepada kelompok yang lebih besar.
Soal sama ada PH mahu berkhemah besar dengan parti-parti kecil yang lain atau tidak, yang berhak menentukannya ialah PH itu sendiri, bukannya parti cenonit tersebut.
Bekerjasama atau tidak dengan parti lain untuk berdepan PRU15 akan datang, PH setidak-tidaknya sudah ada “base” yang membolehkannya berdiri sendiri.
Tetapi tentu saja berbeza dengan parti cenonit tersebut, selain “base” mereka sendiri rapuh, hakikatnya merekalah yang lebih memerlukan PH berbanding PH memerlukan mereka.
Jadi, jangan cuba macam-macam dan tolong sedar diri sikit.
Dan dengan kenyataan terbaru hampir kali yang ke-1000 menolak kepimpinan Anwar yang dilontarkan Marzuki kali ini, ada baiknya mulai sekarang pimpinan PH mengharamkan mulut mereka daripada berbicara lagi soal khemah besar.
Lupakan terus khemah besar dan bergeraklah sendiri dengan keyakinan yang sedia ada yang dimiliki PH.
Kalau parti-parti cenonit itu mahu bekerjasama dengan PH, biar mereka datang dengan tanpa syarat dan menerima kepimpinan sedia ada dengan seadanya.
Jangan lagi ada pemimpin PH sendiri yang terhegeh-hegeh bercakap soal khemah besar atau melayan mereka kerana ia hanya tampak membesarkan parti-parti cenonit itu.
Kenapa PH yang sudah sedia besar dan khemah sedia ada yang di dalamnya ada PKR, DAP dan Amanah, tetapi masih berharap mahu bersama parti lain lagi?
Tidak bolehkah ditumpukan saja kepada kekuatan PH sedia dan biarkan saja parti-parti cenonit yang tidak sedar diri dan besar kepala itu jadi seperti luncai yang terjun dengan labunya?
PH adalah khemah selesa yang sedia ada bagi PKR, DAP dan Amanah dan kalau parti-parti cenonit cuba mahu bernaung di bawahnya, mereka harus ingat bahawa adalah di luar adab jika cuba mengalih kerusi dan menentukan di mana tuan khemah harus duduk.
Sebaliknya tuan khemah yang bukan saja berhak menentukan di mana tetamu harus duduk, malah berhak menentukan sama ada mereka boleh masuk atau tidak ke dalam khemah tersebut.
Tambah-tambah dengan kemenangan Rafizi Ramli bersandarkan majoriti besar sebagai Timbalan Presiden PKR, mesej yang jelas dan mudah difahami ialah ahli-ahli PKR menolak khemah besar itu.
Menolak khemah besar bermakna ahli-ahli PKR menolak Tun Mahathir dan part-parti cenonit yang perasan macam bagus tapi tak sedar hakikat diri sendiri tapi masih mahu menumpang kekuatan atas nama PH.Ayuh Malaysia jauh lebih bermakna serta memberi harapan berbanding khemah besar. – ShahbudinHusin 10/07/2022.