KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dijadualkan bertemu pada Khamis ini bagi memperhalusi dan mengemas kini beberapa perkara berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, sebelum ia dibentangkan pada sidang khas Parlimen, 11 April.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pertemuan itu akan melibatkan Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dianggotai 10 wakil kerajaan dan pembangkang.
Menurutnya, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan komitmen kerajaan dalam membentangkan RUU itu, selain meminta pandangan blok pembangkang bagi memperhalusinya sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Hanya perlu lakukan ‘fine-tuning’ atau kemas kini terhadap beberapa perkara atau klausa dalam RUU itu.
“Perdana Menteri meminta pandangan kami (pembangkang) dan kita kata, aktifkan semula Jawatankuasa Pemandu, selain kita bersetuju pada 31 Mac ini mengadakan pertemuan untuk perhalusi perkara itu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Lembah Pantai di Kerinchi.
Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada 24 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembentangan RUU itu akan diadakan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April.
Wan Junaidi berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri yang turut bersetuju melanjutkan sidang khas itu, sekiranya masa satu hari bagi membincangkan RUU berkenaan tidak mencukupi.