Berikutan gagalnya usul kerajaan berkaitan Sosma mendapat
kelulusan di Dewan Rakyat minggu lalu, ia dengan segera diambil kesempatan oleh
kelompok pro Zahid Hamidi dan Najib Razak dalam UMNO untuk terus mendesak agar
PRU15 diadakan dengan segera.
Hujah mereka ialah gagalnya usul kerajaan itu dengan jelas
memperlihatkan betapa tidak kukuhnya kerajaan sedia ada serta bagaimana
buruknya apabila majoriti yang lebih baik tidak dimiliki.
Bukan saja usul kerajaan gagal mendapat kelulusan itu merupakan
sejarah yang pertama kali berlaku di negara ini, bahkan ia juga dianggap
memburukkan imej negara di mata dunia.
Lantas mereka berhujah, PRU15 yang bertujuan mendapatkan mandat
rakyat yang lebih besar sudah tidak boleh dielakkan lagi demi kestabilan serta
kebaikan negara.
Benarkan PRU15 perlu diadakan dengan segera dan tragedi usul
kerajaan gagal mendapat kelulusan merupakan hujah ampuh bahawa Perdana Menteri
tidak harus mengelak lagi daripada membubarkan Parlimen?
Sebenarnya jika kita tinjau secara terbuka dan meneliti lebih
banyak pandangan daripada berbagai lapisan rakyat, lebih ramai yang tidak
gembira jika PRU15 diadakan dalam waktu terdekat ini.
Bagi mereka, dalam keadaan negara belum pulih sepenuhnya daripada
wabak Covid19, fasa endemik dan pembukaan sempadan negara hanya bermula 1 April
akan datang serta ekonomi belum benar-benar dipulihkan, mengadakan PRU15 pada
ketika ini adalah tidak sesuai sama sekali.
Tidak saja dibimbangi, kes akan melonjak kembali, bahkan tentu
saja akan menyebabkan pemulihan ekonomi yang menjadi harapan semua akan jadi
terganggu akhirnya.
Keadaan itu, mahu tidak mahu, akan menyebabkan rakyat juga yang
akan menanggung deritanya.
Dalam hal ini, tidak saja golongan peniaga dan pekerja yang
sedang bergelut memulihkan kehidupan menolak perlunya PRU15 diadakan dengan
segera, rata-rata rakyat biasa dan orang kampung turut tidak menyetujuinya.
Fakta yang tidak harus diabaikan tentang rasa tidak setuju itu
ialah bila mana peratusan keluar mengundi yang rendah dalam PRN Melaka dan
Johor baru-baru ini.
Keengganan ramai keluar mengundi itu adalah disebabkan mereka
bosan dan letih dengan politik, sebaliknya lebih memikirkan soal kelansungan
untuk meneruskan kehidupan.
Ini bermakna, jika kita benar-benar meneliti, pandangan yang
mahukan PRU15 diawalkan hanyalah merupakan pandangan minoriti oleh UMNO saja.
Daripada 3.4 juta ahli UMNO, bukan semuanya pun mahu dan setuju
PRU15 diadakan lebih awal dan segera.
Ada juga yang tidak setuju dan lebih gembira jika PRU15 diadakan
tahun depan iaitu apabila penggal Parlimen sekarang tamat tempohnya.
Ramai kini bahkan mulai sedar, tindakan kelompok tertentu UMNO
berterusan mendesak dan menekan agar PRU15 diadakan segera bukanlah sangat
untuk kestabilan atau demi kepentingan negara, tetapi lebih bersifat untuk
kepentingan peribadi mereka.
Dengan ada yang sudah dijatuhi hukuman bersalah dan yang lain
sedang dalam perbicaraan, mereka ini sebetulnya dilihat lebih terdesak untuk
PRU15 segera dan mandat baru diperolehi dengan harapan sesuatu manfaat boleh
diraih daripadanya.
Itu pun jika rakyat benar-benar memenangkan BN dalam PRU15
segera yang mereka inginkan itu?
Bagaimana jika rakyat tiba-tiba berubah dan kebosanan yang
melanda seperti di Melaka dan Johor sehingga ramai yang malas keluar mengundi
itu bertukar menjadi keinginan yang meluap-luap mahu menukar kerajaan, lalu
berduyun-duyun memenuhi ruang menunaikan tanggungjawab?
Sebab itu, Ismail Sabri Yaakob harus meneliti dan bertahan dulu
dengan segala desakan serta tekanan daripada UMNO itu.
Beliau harus sedar keinginan sebenar majoriti rakyat dan
menghormati sama keinginan kelompok yang lebih ramai yang tidak mahu dan tidak
sedia berdepan PRU dalam waktu terdekat ini.
Ismail Sabri yang tugas utamanya sebagai Perdana Menteri adalah
memberi kebahagian kepada rakyat, pasti akan lebih disenangi dan disanjungi
jika tidak mudah mengalah dengan desakan daripada mereka yang sebenarnya hanya
memperalatkan nama UMNO untuk kepentingan diri mereka sendiri semata-mata.
PRU15 di tahun 2023 lebih menggembirakan rakyat, sekaligus semua
orang pun dalam keadaan sedia serta tidak bosan lagi pada ketika itu. -
ShahbudinHusin 26/03/2022.