RUTUHAN KUARI DI GOPENG





Gopenghagen

5itptt5ohm1cg43muoh7lre3di  · 

#Ipoh Bomba mengesahkan bilangan mangsa tertimbus dalam kejadian runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, hari ini meningkat kepada dua orang berbanding seorang yang dilaporkan sebelum ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mengesahkan perkara itu setakat jam 1.11 tengah hari tadi.

"Berdasarkan maklumat terkini, terdapat empat mangsa dalam kejadian ini. Dua mangsa dapat menyelamatkan diri manakala dua lagi masih tertimbus di bawah runtuhan batu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang hilang dipercayai tertimbus runtuhan di kuari berkenaan manakala seorang dilaporkan cedera parah, selain dua mangsa sempat menyelamatkan diri dalam insiden kira-kira jam 9.40 pagi itu.

Sementara itu, seorang daripada dua mangsa tertimbus berkenaan dikenali sebagai Itam Balasoh, 43, lelaki Orang Asli bekerja sebagai pemandu jengkaut di kuari berkenaan.

Isteri mangsa, Wak Uda Bahkim, 41, ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata dia mendapat berita kejadian yang menimpa suaminya daripada bapanya, Bahkim Kipak selepas dimaklumkan rakan sekerja suaminya.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan suami adalah kira-kira 7 pagi tadi di rumah mereka di Kampung Jelintuh, Gopeng sewaktu menyediakan sarapan pagi sebelum suaminya kemudian pergi ke tempat kerja menaiki motosikal.

"Ketika diberitahu sesuatu menimpa suami, saya bersama adik dan bapa mentua bergegas ke sini tanpa saya mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

"Sebelum tiba di lokasi baharu saya diberitahu yang suami tertimbus runtuhan batu. Suami bekerja di sini sebagai pemandu jengkaut sejak kira-kira dua tahun lalu, " kata ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu.

Seorang pekerja kuari berkenaan dikenali sebagai Razali yang berada di lokasi sewaktu kejadian, berkata dia dikejutkan bunyi letupan tetapi berbeza bunyi letupan kuari yang biasa didengari.

"Bunyi macam letupan kedengaran hanya sekali, dalam hati ini apabila menyaksikan runtuhan sebegitu hanya memikirkan kawan (mangsa) yang berada di bawah berhampiran lokasi itu," katanya.

Difahamkan, ketika ini pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih menunggu 'lampu hijau' dari Jabatan Mineral dan Geosains sebelum memulakan operasi, susulan terdapat risiko kebarangkalian adanya runtuhan susulan.

Sumber: Harian Metro