Di ketika negara berdepan pelbagai polemik dan kekalutan sejak kebelakangan ini, semua lapisan rakyat tanpa mengira status kedudukan disarankan agar sentiasa menjunjung perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang negara.
Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, hanya dengan berpegang teguh kepada dua perkara tersebut sajalah yang dapat memastikan keamanan dan kestabilan dalam negara sentiasa terpelihara.
Bercakap dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, bekas Ahli Parlimen Jerantut itu menambah, tidak kira siapa dan apa kedudukan seseorang itu, jika mereka meletakkan perlembagaan dan undang-undang sebagai panduan serta neraca dalam kehidupan, pasti tidak ada masalah yang timbul yang akhirnya menjejaskan negara serta kehidupan rakyat.
“Pelbagai perkara yang berlaku dalam negara ini, sebagaimana kita semua saksikan sendiri, adalah kerana perlembagaan dan undang-undang cuba diketepikan,” tegas beliau.
Mengambil contoh tentang desakan sesetengah pihak yang mahu Parlimen segera dibubarkan bagi membolehkan PRU15 diawalkan, beliau berkata, perkara tersebut adalah jelas di dalam perlembagaan merupakan kuasa Yang Dipertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri mengenainya.
“Kalau mereka faham dan menjunjung perlembagaan, tidak timbul sama sekali perlunya melakukan sebarang desakan atau tekanan.
“Perdana Menteri dalam bidang kuasanya memberi nasihat kepada Yang Dipertuan Agong, tidak disebut sama sekali beliau perlu mendapat nasihat daripada parti yang diwakilinya terlebih dahulu,” tegasnya.
Tengku Azlan seterusnya berkata, kenapa semua pihak tidak boleh menyerahkan soal pembubaran Parlimen itu kepada Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri seorang saja yang menasihati baginda, sedangkan selama ini itulah yang berlaku sejak zaman Perdana Menteri yang pertama lagi?
“Apa di sebaliknya yang mereka mahukan dengan berterusan melakukan desakan tersebut?” soal Tengku Azlan.
Katanya, oleh kerana perlembagaan diperkotak-katikkan dan undang-undang tidak dihormatilah yang menyebabkan negara ketika ini berdepan pelbagai masalah.
“Tidak kira siapa pun kita, kalau dua perkara itu tidak menjadi pegangan, masalah akan sentiasa timbul dan berlarutan,” tambahnya.
Untuk itu, beliau mengajak semua lapisan rakyat bersama-sama menjadikannya pegangan dalam menjalani kehidupan di negara ini.
Dalam waktu yang sama, kepada rakyat dan generasi muda khususnya, Tengku Azlan mahu mereka menunjukkan keberanian menolak mana-mana pemimpin yang tidak menghormati perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Jangan rosakkan masa depan negara dengan terus menyokong mereka kerana mereka itulah yang menyebabkan imej negara rosak dan menjejaskan kedatangan pelabur,” tegasnya.
Mengakui dirinya adalah rakyat yang sangat cintakan negara ini, Tengku Azlan berkata, beliau bersuara dalam hal ini adalah semata-mata kerana mahu masa depan Malaysia ini terus cemerlang serta dihormati sepanjang masa. – ShahbudinHusin 18/03/2022.