Pemandangan unik ini seakan memaparkan koleksi kereta klasik disusun rapi di tengah-tengah hutan. Walaupun kereta-kereta ini sudah berkarat dan ditumbuhi hidupan liar namun ia tetap melahirkan suasana romantik kepada pengunjung. Ia terletak berhampiran Chatillon di Wallonia, Belgium.
Beratus-ratus kereta yang berbaris di jalan lama ini seakan ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa. Tumbuhan menjalar seperti pokok anggur dan daun-daun yang gugur telah menyelimuti kereta usang ini. Kereta-kereta ini sudah terbiar begitu lama dan alam semulajadi mengambil alih.
Lumut yang menutupi seperti gaya cat baru menghiasi pintu dan bumper kereta. Pengunjung yang datang melihat kereta-kereta usang itu berpandapat bahawa, ia mungkin milik tentera Amerika, yang disembunyikan pada masa perang dunia kedua.
Namun menurut wikipedia, kuburan kereta ini bermula ketika tentera Amerika yang ditempatkan di kawasan itu meninggalkannya. Setelah perang dunia kedua berakhir mereka menyembunyikan kereta itu di hutan, disebabkan kos biaya penghantaran yang tinggi untuk ke luar negara.
Rancangan untuk mengambil kenderaan ini pada suatu tempoh tidak pernah direalisasikan. Kereta-kereta ini semakin usang apabila berpuluh tahun telah berlalu ditinggalkan dalam hutan. Namun beberapa penduduk tempatan menyangkal dakwaan kereta-kereta itu milik tentera Amerika.
Mereka menyatakan bahawa Chatillon adalah lokasi pembungan kereta yang tidak digunakan lagi. Lokasi tersebut mula digunakan sebagai tempat pembuangan kereta apabila perang dunia kedua berakhir. Keadaan berbeza dengan lokasi pembuangan kereta lain, Chatillon menjadi begitu seram sebab banyak pokok tumbuh sekaligus menjadikan tempat itu hutan yang tebal.
Ramai pengunjung yang datang mengambil bahagian-bahagian kereta untuk dijadikan cenderahati, dan tidak kurang juga mencari alat ganti. Akhirnya kereta ini kebanyakannya hanya tinggal rangka dan secara beransur-ansur menjadi sebahagian dari hutan. Sayangnya rangka kereta di Chatillon yang telah ada sejak puluhan tahun lalu akhirnya dibersihkan oleh kerajaan Belgium.
Kini yang tinggal hanyalah gambar-gambar yang masih dapat dilihat di internet. Bagai pencinta alam semulajadi gambar-gambar kereta usang dalam hutan ini bagaikan satu seni yang indah dan unik. Keunikan ini mungkin kita tidak akan temui di mana-mana.