Perincikan siapa dapat saham DNG untuk spektrum 5G
Keputusan jemaah menteri untuk menawarkan 70% ekuiti pengendali teknologi 5G, Digital Nasional Berhad (DNB) kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) atau syarikat telekomunikasi (telco) merupakan sesuatu yang ditunggu tunggu.
Menurut Jurucakap Telekomunikasi KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh, liberalisasi sektor 5G tersebut telah diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sejak sekian lama dan polisi baharu kerajaan berkenaan adalah langkah ke hadapan dalam usaha memberikan yang terbaik kepada program pendigitalan nasional.
“Seperti yang saya bangkitkan dalam sesi penggulungan YB Menteri Komunikasi Dan Multimedia (K-KOMM) semalam, penetapan ini selari dengan siri-siri gesaan oleh pelbagai pihak termasuk daripada kami pihak pembangkang.
“Ketelusan dan perancangan rapi dengan mengambil kira maklumbalas lain sepatutnya menjadi teras amalan dalam semua usaha serta inisiatif kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh pihak kementerian berhubung penawaran ekuti tersebut, terutama berkaitan syarikat mana yang akan memperolehinya.
“Rakyat mahu tahu siapakah MNO yang akan turut serta berkongsi ekuiti bersama DNB?
“Bagaimanakah penetapan harga kos dan harga kepada pengguna melalui kaedah ekuiti berkongsi ini?
“Juga apakah perincian skop dan peranan DNB dan MNO berdasarkan pengenalan kaedah perkongsian ekuiti?” katanya.
Selain itu menurut Ahli Parlimen Ledang itu lagi, pihak kementerian juga perlu menerangkan mengenai kebarangkalian kelewatan pelaksanaan insiatif 5G mengambil kira masalah-masalah yang dihadapi sebelum teknologi berkenaan tergunapakai dan aliran kewangan inisiatif 5G terkini memandangkan perubahan yang dirancang turut memberi kesan kepada aspek kewangan.
“Persoalan ini telah saya bangkitkan dalam sesi penggulungan dan YB Menteri K-KOMM telah memberi maklumbalas yang baik.
“Beliau menjanjikan tindakan dalam bentuk penelitian dan rundingan tuntas dan telus akan dilaksanakan oleh K-KKOM dan MOF.
“Saya akan terus pantau dan menggesa agar pihak yang terlibat memastikan pelaksanaan rancangan masa depan yang dibuat dengan penelitian rapi, sentiasa mengambil kira maklumbalas pihak berkepentingan dan menekankan ketelusan serta berintegriti dalam setiap urusan,” kata Syed Ibrahim lagi.
Tegas beliau, kemudahan teknologi 5G yang membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara harus tanpa mengabaikan ketelitian dalam aspek ketelusan, pertanggungjawaban dan tata kelola sempurna.