Pertentangan antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah krisis terbesar sekarang ini.
Jika Ismail Sabri tegas dan tidak tunduk desakan Zahid Hamidi
supaya Parlimen Malaysia dibubarkan segera, maka Ismail Sabri akan muncul
sebagai wira.
Ismail Sabri seorang peguam.Dia tahu Presiden Umno tidak ada
locus standi untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan.
Presiden Umno Zahid Hamidi boleh menjerit sekuat suaranya di
dalam Dewan Perhimpunan Agung Umno supaya Parlimen dibubarkan tetapi itu tidak
ada kesan undang-undang.
Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan
Persekutuan hanya boleh dinasihatkan untuk membubarkan Parlimen sekiranya
keputusan itu hasil mesyuarat Perdana Menteri dengan Jemaah Menteri atau
kabinet.
Tentu sekali bukan keputusan Perhimpunan Agung Umno atau
keputusan Lima orang pucuk pimpinan tertinggi UMNO.
Hal ini dapat dilihat esok, Sabtu 19 haribulan Mac.
Adakah Ismail Sabri sebagai Naib Presiden Umno akan diberi
peluang menyampaikan ucapan penggulungan?
Kalau peluang diberikan kepadanya untuk berucap, maka kita
lihatlah nanti adakah Ismail Sabri mempunyai tulang belakang sekeras besi waja
untuk muncul sebagai seorang Perdana Menteri yang ada intergiti atau beliau
hanya pemimpin biasa-biasa sahaja kelas tiga.
Setakat ini, sejauh yang kita ketahui, imej Ismail Sabri Yaakob
bersih. Bukan perasuah, dan bukan seorang pemimpin yang
tidak berakhlak mulia.Beliau sentiasa kelihatan tenang dan
sabar.
Pendirian Ismail Sabri yang menghormati kebebasan badan
kehakiman dalam amalan pengasingan kuasa amat dihormati.Ini antara kekuatannya.
Tetapi jika esok Ismail Sabri tunduk dan mengalah kepada Zahid
Hamidi dan kluster mahkamah, maka punahlah masa hadapan satu-satunya pemimpin
Umno yang kelihatan bersih dan boleh diterima Rakyat Malaysia.
Jika itu berlaku akan hancurlah Keluarga Malaysia dibaham
harimau ganas kluster Mahkamah.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
18 Mac 2022 (Jumaat)