HABISLAH HARAPAN WALAUN SELAMA INI YANG MASIH MAHUKAN MN

 

‘Biarlah MN dalam lipatan yang tak perlu dibuka lagi’, kata Zahid



Ahmad Zahid Hamidi dilihat memberi petunjuk jelas tentang masa depan Muafakat Nasional dalam kerjasama politik antara parti itu dan PAS. (Gambar Bernama)

KOTA TINGGI: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk jelas tentang masa depan Muafakat Nasional (MN) dengan menyatakan kerjasama politik antara parti itu dan PAS “biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi”.

“Bukan kita tidak mahu, malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong,” katanya ringkas dalam sidang media ketika meninjau Pusat Daerah Mengundi Kota Kecil Timur di sini, hari ini.

Turut sama dalam tinjauan Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), adalah calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Muszaidi Makmor dan DUN Johor Lama, Norlizah Noh.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man semalam bahawa MN belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti yang mengisytiharkan pembubarannya.

Katanya, status MN akan dilihat semula selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Belum ada kubur, belum ada batu nisan dan tiada siapa mengisytiharkan Muafakat Nasional ditamatkan. Secara prinsipnya, walaupun dia tak nampak hidup, tapi dia tak mati, statusnya sebagaimana ada,” kata Tuan Ibrahim di Muar semalam.

Terdahulu, Zahid dalam ucapannya berkata, prestasi Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor amat mengagumkan, meskipun tempoh perkhidmatan beliau singkat.

“Dari Mac 2020 hingga DUN dibubarkan, prestasi yang diperlihatkan beliau amat mengagumkan. Dalam tempoh yang paling singkat, beliau telah dapat memberikan kemajuan yang sepatutnya kepada Johor.”

Beliau turut memberi jaminan semua janji BN dalam manifesto Ikhtiar BN Johor akan dilaksanakan sepenuhnya.

BN, yang meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN, sebelum ini menyatakan Hasni akan terus menjadi Menteri Besar, sekiranya parti itu mendapat mandat baharu dalam PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac ini.

No comments: