MAHALNYA YURAN

 

Baru sekejap tadi telefon isteri aku. Bercerita pasal anak-anak. Sekali isteri aku beritahu yuran untuk 3 anak aku yang bersekolah rendah saja sudah mencecah RM800.

Tersentak sekejap aku. Kenapa mahal sangat? Itu baru 3 orang. Aku ada lagi 3 orang anak di sekolah menengah. Nampak macam cecah RM1,500 juga kalau begini.

Rupanya yuran sekolah agama mereka bertiga saja dah lebih RM500. Mana tidaknya. Yuran PIBG je dah RM170. Anak pertama RM70 dan RM50 seorang untuk yang berikutnya.

Aku pun tak faham untuk apa yuran PIBG di sekolah agama ni. Dahlah mahal dari sekolah kebangsaan. Sedangkan sekolah pun cuma sejam setengah ke tiga jam sehari.

Tambah dengan keadaan pasca Covid ni, sekolah cuma dua ke tiga hari saja seminggu. Kutip yuran PIBG mahal-mahal untuk apa sebenarnya?

Fikiran aku tersorot pada keluarga B40. Bagaimana agaknya mereka nak jelaskan yuran semahal itu? Yang pendapatan tak lebih RM1,200 sebulan, nak bayar macamana?

Aku tak pasti kalau cuma sekolah anak aku atau semua sekolah agama yurannya begitu. Yang aku diberitahu, yuran PIBG ditetapkan oleh Jabatan Agama. Betul ke?

Soalnya kenapa kena bayar? Perlukah yuran PIBG ini? Kenapa kerajaan negeri tak tanggung? Rakyat bukan macam pemain dan jurulatih pasukan JDT yang gajinya puluhan malah ratusan ribu sebulan.

Mana pergi duit zakat? Ke manakah wang zakat dibelanjakan? Ramai sangat orang miskin di negeri ini sampai wang zakat tak cukup? Bukan anak yang belajar agama dikira asnaf?

Asnaf fi Sabilillah ni bukan belajar luar negara saja. Asalkan belajar. Bukan mesti anak orang miskin saja. Jadi bagaimana duit zakat itu dibelanjakan? Pelik juga aku.

Kalau tak kira duit zakat pun, aku tetap pelik apa perlunya dikutip yuran PIBG yang sebegitu tinggi? Inikah yang dikatakan pemerintah yang pentingkan rakyat?

Aku beritahu isteri aku, jangan bayar yuran PIBG. Masalah berlaku bila orang macam aku bayar. Jadi yang tak mampu pun terpaksa usahakan untuk bayar.

Tapi kalau semua rakyat sepakat tak mahu bayar, apa agaknya yang sekolah atau Jabatan Agama mahu lakukan. Menarik untuk dilihat. Guane boh?

Raja Gelap